Muhammad Alif dituduh bunuh Nur Farah Kartini

Afiezy Azaman
Julai 26, 2024 02:50 MYT
Tertuduh didakwa membunuh Nur Farah Kartini di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang 15 Julai lalu. - Astro AWANI
HULU SELANGOR: Anggota polis berpangkat Lans Koperal didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh Nur Farah Kartini Abdullah, pada 10 Julai lalu.
Ketika pertuduhan dibacakan, Muhammad Alif Monjani berusia 26 tahun, hanya mengangguk faham namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen yang bertindak sebagai Majistret, Nurul Mardhiah Mohammed Redza.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Nur Farah Kartini yang berusia 25 tahun dan merupakan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Tertuduh yang telah berkahwin itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, antara jam 9 pagi pada 10 Julai hingga 6 petang, 15 Julai lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati atau dipenjara minimum 30 tahun atau minimum 12 sebatan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron, manakala tertuduh diwakili peguam Aida Jaafar Mad Ariff dan Aida Nur Aida Md Zainuddin.
Pendakwa Raya kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes seterusnya bagi menyerahkan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan Telco.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Pada 15 Julai, media melaporkan mayat Nur Farah Kartini, 25, dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang.
Penemuan mayat mangsa adalah hasil soal siasat ke atas suspek yang juga kenalan kepada mangsa.
Tertuduh direman selama tujuh hari bermula 16 Julai hingga 22 Julai sebelum tempoh reman ke atasnya disambung tujuh hari lagi sehingga 29 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis Perak mengesahkan suspek adalah seorang anggotanya yang bertugas di Balai Polis Slim River, Tanjung Malim dan sudah lima tahun berkhidmat.
Tertuduh yang berasal dari Melaka juga sudah mendirikan rumah tangga.
Dalam siasatan terhadap pembunuhan itu, pasukan penyiasat polis melakukan pelbagai operasi mencari dan mengesan bahan bukti di beberapa lokasi sekitar daerah Hulu Selangor dan Muallim dan Slim River di Perak.
Pencarian yang dijalankan oleh pasukan forensik termasuk unit skuba itu membawa kepada penemuan telefon bimbit dalam parit serta kunci kereta dan dompet dalam Sungai Trolak.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dipetik berkata, siasatan kes itu telah selesai, dan perselisihan perhubungan dipercayai adalah punca gadis berumur 25 tahun itu dibunuh.
#Nur Farah Kartini Abdullah #Muhammad Alif Monjani #bunuh #Mahkamah Sesyen