Muhammad Adib tunjuk reaksi positif - IJN
Harits Asyraf Hasnan
November 28, 2018 18:07 MYT
November 28, 2018 18:07 MYT
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Muhammad Adib Mohd Kassim menunjukkan reaksi positif selepas dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) malam semalam.
Bagaimanapun, beliau masih berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan pemantauan dan sokongan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Menurut kenyataan IJN hari ini, Muhammad Adib dilihat memberi respons positif kepada alat sokongan paru-paru (full cardio-pulmonary support) menggunakan sistem ‘Extra Corporeal Membrane Oxygenation’ (ECMO).
“Pesakit tersebut tiba di IJN pukul 12 tengah malam semalam dan segera dipindahkan ke ICU.
“ECMO menggunakan ‘Centrimag - Acute Circulatory Support System’ telah dipasangkan kepada pesakit dan prosedur tersebut selesai 2.30 pagi,” kata IJN.
Mesin ECMO membantu menormalkan aliran haemodynamic dengan purata 4 hingga 5 liter seminit di dalam badan dan menghantar tahap oksigen yang tinggi ke dalam darah.
Ia mengurangkan peranan jantung dan paru-paru sekali gus membolehkan kedua-dua organ itu pulih daripada kecederaan.
Pasukan pakar IJN merangkumi enam doktor pakar meliputi pelbagai bidang, tiga kakitangan paramedik dan lapan jururawat rawatan rapi.
Muhammad Adib didakwa telah ditarik keluar dari van Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) oleh perusuh di kawasan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, dalam insiden pada awal pagi Selasa.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohamad Hamdan Wahid, dua jentera bomba termasuk van dinaiki Muhammad Adib telah diserang dengan balingan batu dan objek menyebabkan berlaku kerosakan.
Setelah ditarik keluar, Mohamad Hamdan berkata, perusuh dipercayai memukul Muhammad Adib sehingga tidak sedarkan diri.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin sebelum ini mengesahkan Muhammad Adib mengalami kecederaan parah di bahagian dada, tulang rusuk dan jangkitan paru-paru.
#bomba
#ECMO
#ICU
#IJN
#JBPM
#JBPM Selangor
#kritikal
#Muhammad Adib Mohd Kassim
#respons positif
#unit rawatan rapi