Muhammad Adib sudah tiada, MB Selangor harap penjenayah dihukum sekeras-kerasnya
Astro Awani
Disember 17, 2018 23:10 MYT
Disember 17, 2018 23:10 MYT
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berharap jika terbukti wujudnya elemen jenayah dalam kes di Kuil Sri Maha Mariamman, penjenayah terbabit akan segera dibawa ke muka pengadilan dan dihukum sekeras-kerasnya.
Amiruddin berkata demikian dalam satu kenyataan susulan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24 tahun, yang parah dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu.
"Kerajaan Negeri Selangor berdukacita atas pemergian beliau dan merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham.
"Manakala itu saya mengulangi keyakinan saya akan kemampuan pihak Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara untuk menyempurnakan siasatan terhadap kes ini.
"Sekiranya terbukti wujudnya elemen jenayah maka saya berharap penjenayah terbabit akan segera dibawa ke muka pengadilan dan dihukum sekeras-kerasnya atas tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini," katanya.
Muhammad Adib dipindahkan ke IJN selepas mengalami kecederaan parah akibat diserang susulan insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman pada 27 Nov lalu.
Difahamkan, jenazahnya akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah malam ini untuk dikebumikan.
Pada Ahad, IJN melalui satu kenyataan memaklumkan kesiahatan Muhammad Adib kembali merosot dengan fungsi paru-parunya yang menurun tahapnya.