Muhammad Adib ditarik dari jentera ketika pasukan berundur

Sinar Harian
November 27, 2018 15:27 MYT
Pemandu EMRS dalam keadaan panik memecut keluar dari lokasi kejadian tanpa menyedari Muhammad Adib tiada bersama mereka. - Foto Sinar Harian
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohamad Hamdan Wahid menyatakan anggotanya, Muhammad Adib Mohd Kassim ditarik perusuh di kawasan Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield ketika pasukannya berundur dari lokasi.
Katanya, dua jentera bomba termasuk van Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang dinaiki Muhammad Adib telah diserang dengan balingan batu dan objek menyebabkan berlaku kerosakan pada cermin dan badan kenderaan itu.
Jelasnya, dalam situasi panik untuk berundur, mangsa telah ditarik keluar dari tempat duduk penumpang van EMRS oleh perusuh dan dipercayai dipukul sehingga tidak sedarkan diri.
BACA: 'Kamu kuat, kamu perlu cepat bangun' - rayu tunang pada bomba
Berikut merupakan kronologi kejadian berdasarkan kenyataan Mohamad Hamdan:
"Kejadian yang berlaku ke atas pegawai bomba, Muhammad Adib ini adalah ekoran daripada operasi untuk pemadaman kebakaran yang berlaku di kawasan kuil Sri Maha Mariamman, Seafield.
"Mereka ini adalah kumpulan EMRS dan responder untuk pemadaman daripada Balai Bomba Subang Jaya.
"Sebenarnya panggilan diterima pada pukul 1 pagi. Respond adalah dua jentera unit Fire Rescue Tender (FRT) yang terdiri daripada tujuh kru di mana satu komander dan lima kru di jentera yang depan dan juga di jentera EMRS di belakangnya terdiri daripada dua kru iaitu pemandu dan responder di sebelahnya.
"Untuk sampai di lokasi, biasanya mereka akan guna jalan besar tetapi oleh kerana mereka dah buat satu kajian risiko kawasan dan dapati bahawa untuk sampai ke lokasi, jalan singkat adalah menggunakan jalan dalam.
"Panggilan ini adalah melalui MERS 999. Apabila sampai di lokasi, dah hampir kepada simpang, berlakunya kebakaran. Pasukan petugas sudah mula nampak api.
"Biasanya kita akan tempatkan jentera kereta berdekatan dengan sumber. Jadi ada jaraknya untuk melaksanakan tugasan. Apabila mereka berhenti untuk keluar, kru di sebelah kiri dan kanan jentera FRT yang berada di hadapan keluar dari jentera dan mendapati orang perseorangan atau kumpulan tiba-tiba ramai menghampiri mereka.
"Atas arahan komander supaya berundur dan masuk balik ke dalam jentera. Ketika itu mereka telah menerima lontaran batu, kayu dan besi daripada kumpulan ini menyebabkan kerosakan seperti cermin pecah, badan jentera rosak.
"Apabila jentera hadapan berundur, jentera di belakang turut sama undur tetapi sedikit terheret ke tepi. Ketika itulah mereka tidak lagi boleh mengelak dan kenderaan EMRS telah diserang.
"Umum tahu, jentera EMRS ini hanya sebuah van ambulans bagi tujuan menyelamat. Dengan kata lain badannya tidak keras dan cermin mudah pecah. Ketika ini van EMRS mula untuk memecut keluar dari lokasi dan keadaan begitu kelam-kabut.
"Dalam keadaan itu, kumpulan itu dapat menarik Muhammad Adib. Pemandu EMRS dalam keadaan trauma memecut keluar dari lokasi kejadian bersama FRT ke Balai Bomba Subang Jaya tanpa menyedari Muhammad Adib tiada bersama mereka.
"Bukan mereka tinggalkan Muhammad Adib. Pasukan petugas ini ketika berada di Balai Bomba Subang Jaya membuat panggilan kepada mangsa tetapi telefonnya dijawab oleh orang awam yang menyatakan mereka dalam perjalanan ke hospital terdekat."
#bomba #EMRS #Fire Rescue Tender #kebakaran #kuil sri maha mariamman #mangsa #Mohamad Hamdan Wahid #Muhammad Adib Mohd Kassim #operasi
;