Muhammad Adib bawa cinta tunang ke liang lahad
Saharudin Musthafa
Disember 18, 2018 15:52 MYT
Disember 18, 2018 15:52 MYT
KEPILUAN dan kedukaan yang bersarang di jiwa Nurul Najihah Mohd Radzi ketika ini tidak sama seperti kesedihan yang sedang dirasai jutaan rakyat Malaysia ketika ini.
Nurul Najihah mempunyai banyak sebab untuk berduka, merintih atau menangis semahu-mahunya kerana dia kehilangan seorang lelaki yang sepatutnya bergelar suami pada 22 Disember ini.
Namun, apa kudrat yang Nurul Najihah ada untuk menghalang tragedi yang meragut nyawa tunangnya, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Hasrat dan cita-cita pasangan itu untuk disatukan sebagai suami isteri musnah.
Kad undangan dan persiapan sudah tidak bermakna lagi.
Kita seharusnya memahami sebagai wanita yang berusia 25 tahun, Nurul Najihah tentu sekali tidak memiliki kekuatan untuk melalui dugaan yang amat besar buatnya.
Sekiranya Muhammad Adib masih ada, tentu sekali segala rasa dikongsi dengan tunangnya itu, namun semua itu kini hanya tinggal kenangan buat Nurul Najihah.
Justeru, luahan rasa di laman sosial Instagram bercerita mengenai perancangan dan harapan untuk sehidup semati dengan Allahyarham Muhammad Adib menjadi perhatian netizen.
Ketika wajahnya dirakamkan oleh jurugambar media, Nurul Najihah kelihatan sangat tenang menemani jasad tunangnya menaiki helikopter kembali ke kampung halaman Allahyarham di Kedah.
Di sebalik ketenangan itu, sebetulnya kita tidak mengetahui wanita yang memiliki susuk tubuh sederhana itu memiliki harapan dan keinginan yang sudah lama didambakan bersama Allahyarham Muhammad Adib.
“Al-Fatihah, Kudip (Muhammad Adib). Esok (hari ini) kita sama-sama cuti untuk balik kampung untuk wedding kita.
“Ya abang. Kita balik sama-sama. Patutnya kita balik drive. Tapi orang balik juga dengan abang, tapi abang dalam keadaan kaku,” tulis Nurul Najihah mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen.
Rasa sebak netizen tambah berganda apabila melihat kad undangan perkahwinan mereka yang turut dimuat naik oleh Nurul Najihah.
Selain itu, Nurul Najihah turut memuat naik gambar kenangan berdua dengan Allahyarham di ‘instastory’ dengan kata-kata: "Al-Fatihah. Walau apa pun terjadi, ada kenangan yang tidak dapat diganti’ (No matter what happens, some memories can’t never be replaced)."
Muhammad Adib perwira yang menjadi kebanggaan negara menghembuskan nafas terakhir pada 9.41 malam tadi selepas bertarung nyawa hampir tiga minggu di Institut Jantung Negara (IJN).
Allahyarham dirawat di IJN akibat dipukul perusuh dalam kejadian di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, bulan lalu.
Jenazah Allahyarham telah diterbangkan ke kampung halaman, Kampung Tebengau, Kuala Kedah dari Pangkalan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Subang, pada pukul 8.50 pagi Selasa dan tiba di Kuala Kedah pada pukul 10.30 pagi.
#anggota bomba
#kahwin
#Kedah
#meninggal dunia
#Muhammad Adib
#Nurul Najihah
#Sri Maha Mariamman
#tanah perkuburan masjid as-saadah
#tunang