Mufti syor garis panduan dan kawalan tertentu di kelab komedi
Bernama
Julai 14, 2022 17:11 MYT
Julai 14, 2022 17:11 MYT
GEORGE TOWN: Satu garis panduan dan kawalan tertentu perlu dilaksanakan oleh pihak berkuasa supaya pemilik kelab komedi dan orang ramai yang berkunjung ke situ sentiasa memelihara batas-batas moral serta agama, kata Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.
Beliau berkata pada masa yang sama pihak berkuasa agama Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan-jabatan agama perlu menasihati masyarakat Muslim agar sentiasa menghormati kesucian agama mereka dan tidak dijadikan bahan mainan atau gurauan.
"Sebagai agama yang sesuai dengan fitrah manusia, Islam tidak menentang hiburan termasuk komedi atau lawak jenaka malah Islam juga tidak menghendaki penganutnya sentiasa serius sehingga tiada ruang untuk bersantai dan berekreasi.
"Islam juga tidak melarang kesemua ini asalkan tidak keterlaluan, di dalam kehidupan ini ada ketikanya kita perlu serius dan ada ketikanya kita perlu bersantai," katanya ketika dihubungi hari ini, sebagai mengulas berhubung video tular dipercayai perbuatan menghina kesucian agama Islam yang dilakukan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ekoran kejadian itu, polis menahan seorang wanita yang tular di media sosial kerana didakwa mencetuskan kontroversi tidak bermoral tersebut dan dia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur semalam atas pertuduhan menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi.
-- BERNAMA
#garis panduan
#kelab komedi
#pihak berkuasa
#batas moral
#Mufti Pulau Pinang
#Wan Salim Wan Mohd Noor
#Islam
#Muslim