Mufti Perlis perjelas penamatan imam bukan bidang kuasanya

Bernama
Januari 11, 2019 06:35 MYT
MOHD ASRI: Sebenarnya penamatan kontrak imam atau imam yang ditukar ini berlaku di semua negeri. - Gambar fail
Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menjelaskan penamatan dan penukaran lebih 25 orang imam di Perlis adalah di luar bidang kuasanya.
Katanya keputusan penamatan khidmat dan pertukaran imam-imam tersebut di bawah bidang kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan bukan bidang kuasa Jabatan Mufti.
"Sebenarnya penamatan kontrak imam atau imam yang ditukar ini berlaku di semua negeri, bukan di Perlis sahaja," kata Mohd Asri kepada Bernama.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan beberapa masjid di Perlis yang membuat bantahan aman mendesak supaya khidmat imam-imam tersebut disambung semula.
BACA: Ada tiga sebab 25 imam di Perlis ditamatkan jawatan
BACA: Beri penjelasan segera imam yang dipecat
Mohd Asri berada di sini menyertai Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam program Ziarah Mahabbah MAIPs (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis) ke Wilayah Ranong dan Chumphon.
Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil juga berkenan menyertainya. Program itu turut disertai Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.
Sebelum ini tular mengenai tindakan JAIPs menamatkan 25 imam dan 10 lagi ditukarkan ke kariah lain dengan surat bertarikh 31 Dis lepas tanpa menyatakan sebab.
-- BERNAMA
#bantahan aman #bidang kuasa #imam #Jabatan Hal Ehwal Agama Islam #JAIPs #kontrak #Mohd Asri Zainul Abidin #mufti #penamatan #Perlis #tamat khidmat
;