Mufti nasihat Siti Nurhaliza tunda tarikh konsert menjelang Ramadan

Azyyati Ahmad
Januari 18, 2024 12:45 MYT
Wan Salim berkata mengadakan aktiviti hiburan ketika Ramadan hampir menjelang seolah-olah melalaikan umat Islam daripada mengingati Allah. - Foto fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dinasihatkan agar menunda ‘Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza’ yang dijadualkan berlangsung pada Mac ini kepada satu tarikh lain.
Dalam satu saranan, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata mengadakan aktiviti hiburan menjelang bulan Ramadan seolah-olah melalaikan umat Islam daripada mengingati Allah.
Bagaimanapun, Wan Salim akui bahawa beliau tidak mendapat informasi penuh berkenaan konsert penyanyi nombor satu negara itu.
“Maaf, saya tak dapat komen sebab tak dapat liputan sepenuhnya tentang konsert itu.
“Cuma komen saya, adalah tidak elok mengadakan konsert di ambang bulan Ramadan.
"Sepatutnya umat Islam membuat persiapan rohani untuk menyambut ketibaan bulan yang mulia ini dengan membanyakkan zikir, membaca al-Quran, puasa sunat, sedekah dan sebagainya,” jelasnya dalam satu balasan mesej kepada Astro AWANI.
Tambahnya lagi, perkara yang bertentangan dengan itu adalah bercanggah dengan galakan kepada umat Islam supaya beramai-ramai memenuhi masjid dan surau untuk mengerjakan ibadat seperti solat berjemaah, mengikuti program ceramah, tazkirah dan sebagainnya.
“Jadi Datuk Seri Nurhaliza sepatutnya mengelakkan kontroversi yang mungkin akan berbangkit susulan konsert yang dirancangnya pada waktu yang tidak sesuai.
“Pada pandangan saya beliau masih ada masa untuk mengubah tarikh ini. Eloklah konsert tersebut ditunda ke tarikh lain, umpamanya selepas Hari Raya Aidilfitri nanti,” kata Wan Salim lagi.
Konsert Siti dijadualkan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 9 Mac dan bulan puasa pada tahun ini dijangka jatuh pada 12 Mac 2024.
Sejak dibuka untuk jualan, tiket konsert Siti kali ini habis terjual dalam tempoh kurang tiga jam, selepas dilancarkan pada 21 Disember tahun lalu.
Siti sebelum ini menyatakan konsert berkenaan sepatutnya berlangsung pada Julai 2023 tetapi terpaksa ditangguhkan sebaik mendapat tarikh baharu daripada Perbadanan Stadium Malaysia dan Axiata pada 9 Mac ini.
#Islam #konsert #Siti Nurhaliza #Wan Salim Wan Mohd Noor #Ramadan
;