Mufti Kelantan belum putuskan fatwa tentang ajaran GISB

Bernama
September 26, 2024 18:45 MYT
Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata pihaknya tidak mahu terburu-buru mengeluarkan fatwa berhubung perkara itu. - Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Jabatan Mufti Negeri Kelantan masih mengumpul bukti serta elemen-elemen baharu yang boleh mengaitkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) sebagai kumpulan ajaran sesat sebelum memutuskan sebarang fatwa terhadap kepercayaan dan ajaran organisasi itu.
Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata pihaknya tidak mahu terburu-buru mengeluarkan fatwa berhubung perkara itu.
"Kalau untuk Al-Arqam kita sudah ada fatwa mengenai ajaran berkenaan, namun untuk GISB ini, kita akan kumpulkan elemen-elemen baharu dan jika perlu kepada fatwa lain kita akan tambahkannya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Wacana Intelektual Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V yang ke-55 tahun 2024 di sini hari ini yang dirasmikan oleh Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra.
Pada masa yang sama, Mohamad Shukri turut menasihati masyarakat Islam di negeri ini supaya berhati-hati dengan ajaran GISB yang didakwa mempunyai kesinambungan ajaran Al-Arqam.
"Bukan sahaja melibatkan ajaran GISB, tetapi kita mengingatkan masyarakat jangan mudah percaya dengan mana-mana ajaran sesat yang boleh menyesatkan orang ramai," katanya sambil menambah isu GISB akan dibincangkan dalam mesyuarat fatwa pada bulan depan.
-- BERNAMA
#GISB #Mufti Kelantan #fatwa #Mohamad Shukri Mohamad
;