MUET - Cadangan meningkatkan syarat kemasukan IPTA dan pengjiazahan, apa kata mahasiswa?

Mariah Ahmad
Oktober 13, 2014 08:45 MYT
Para pelajar harus lulus MUET pada tahap-tahap tertentu berdasarkan kursus masing-masing. - Gambar fail
BAJET 2015 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat melontarkan cadangan untuk meningkatkan syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta syarat untuk pengijazahan mendapat pelbagai reaksi daripada mahasiswa-mahasiswa tempatan.
Muhammad Ariff Mohamad Nizam, 22, pelajar Kajian Antarabangsa dari Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata penstrukturan semula Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) ini sememangnya relevan untuk jangka masa panjang.
“Usul penstrukturan semula MUET ini sememangnya relevan untuk lahirkan modal insan yang kompetitif tapi ia semacam janggal bila diusulkan di dalam belanjawan negara tanpa sebarang insentif mahupun inisiatif.
"Dan pengredan ni wajar terpakai untuk syarat kemasukan berbanding syarat graduasi memandangkan di peringkat kampus sendiri punyai subjek generik bahasa yang punyai tujuan sama iaitu untuk memantapkan bahasa,” tambah beliau.
Beliau bekata sewajarnya penstrukturan semula pengredan MUET diselarikan dengan program pemantapan bahasa dari kurikulum sekolah.
Sementara itu Izyan Ismail, 22, berkata banyak kos yang akan digunakan jika pelajar gagal untuk mencapai tahap yang dikehendaki.
“Dulu yuran ujian MUET ialah sebanyak RM60. Sekarang dah naik kepada RM100. Jadi apa akan jadi sekiranya calon tidak berjaya untuk cubaan kali pertama. Calon perlu lagi spent duit and perlu lagi duduki semula ujian MUET sampai lulus.
“Pada pendapat saya, dari segi masa pun dikira membazir juga. Pelajar yang gagal percubaan pertama mungkin tidak sempat untuk bergraduasi pada masa yang ditetapkan kerana perlu menduduki semula MUET,” tambah beliau yang kini menuntut kursus Undang-Undang pada tahun ketiga di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam, Abang Mohd Hafizie Abang Bunsu, 23, berkata pihak MPP UiTM sedang mendapatkan penjelasan sewajarnya daripada pihak pengurusan UiTM terutamanya Bahagian Hal Ehwal Akademik.
“Andai kata pelaksanaan ini dibuat pada semester ini atau semester hadapan kepada mahasiswa yang sedang menuntut sekarang, akan kami usahakan untuk TIDAK menerima keputusan itu.
"Cadangan saya, adalah lebih baik perkara ini dijalankan terhadap pengambilan pelajar baru bermula tahun depan,” tambah beliau menerusi status laman Facebook Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Shah Alam.
#Bajet 2015 #MUET #UiTM #Unimas