Mudahkan urusan menuntut harta - Tengku Abdullah
Bernama
Jun 1, 2018 04:51 MYT
Jun 1, 2018 04:51 MYT
Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu jabatan agama Islam serta pihak yang berkaitan memudahkan urusan menuntut harta dalam kalangan umat Islam.
Baginda bertitah pihak jabatan agama juga seharusnya lebih aktif memberi pendedahan berkenaan kepentingan menuntut harta pusaka demi kesinambungan hidup anggota keluarga yang ditinggalkan.
"Menurut data yang dikumpulkan pihak berkuasa berkaitan dan dilaporkan oleh pihak Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), memang ramai yang tidak tahu cara untuk menuntut harta pusaka milik keluarga mereka, sedangkan harta yang ditinggalkan itu (tidak kira banyak atau sedikit) dapat membantu mereka meneruskan hidup.
"Berikutan itu, saya mahu isu berkaitan pengetahuan urusan harta pusaka yang masih cetek diperbetulkan melalui pendedahan ilmu oleh pihak jabatan agama.
"JAIP juga perlu bagi nasihat sewajarnya kepada masyarakat termasuk mereka yang datang untuk bertanya mengenai urusan tuntutan harta pusaka," titah baginda pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Pengurniaan Sumbangan kepada Golongan yang Memerlukan di Masjid Kota Perdana, di sini pada Jumaat.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Anggota Dewan Undangan Negeri Bebar Datuk Mohammad Fakharuddin Mohd Ariff yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia negeri.
Tengku Abdullah bertitah kebimbangan itu ekoran laporan akhbar pada Khamis yang menyatakan sejumlah RM66.6 bilion nilai harta pusaka di Malaysia masih terbuka dan belum diwariskan atau dituntut oleh waris selain berpunca daripada masalah pengurusan harta pusaka.
Pada majlis itu, Tengku Abdullah turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 350 penduduk termasuk saudara baharu dan mualaf dari Kampung Runchang, Kampung Simpai dan Kampung Sawah Batu.
Selain itu, baginda juga berharap saudara Orang Asli di daerah ini bersyukur kerana dapat menjalani ibadah yang selesa melalui kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan dan keprihatinan beberapa pihak yang tampil menganjurkan program keagamaan.
"Perhatian yang diberikan oleh pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam Pahang yang prihatin dengan masyarakat ini perlu diteruskan bagi memberi semangat kepada mereka.
"Kemudahan seperti surau yang disediakan serta ibadah yang dilakukan bersama masyarakat Asli lain yang turut memeluk Islam membantu mengukuhkan lagi persaudaraan sesama Islam," titah baginda.
-- BERNAMA
#ahli keluarga
#harta pusaka
#jabatan agama islam
#JAIP
#Raja Pahang
#Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah
#tuntut harta
#Umat Islam
#waris