Mudahkan permohonan pembiayaan pelancongan Penjana - Persatuan
Bernama
Jun 14, 2020 18:29 MYT
Jun 14, 2020 18:29 MYT
Kerajaan disaran memudahkan proses permohonan Pembiayaan Pelancongan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bernilai RM1 bilion yang perinciannya bakal diumumkan Julai nanti bagi membantu pemain industri yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
Timbalan Presiden Persatuan Perniagaan Langkawi (Niagakawi) Datuk Alexander Isaac berkata polisi permohonan perlu dipermudahkan bagi mencapai hasrat membantu membangunkan semula industri pelancongan yang sedang berhadapan dengan cabaran untuk bangkit semula.
"Langkah kerajaan melaksanakan Pembiayaan Pelancongan Penjana amat dialu-alukan kerana memberi manfaat kepada pemain industri pelancongan yang ketika ini amat memerlukan suntikan aliran tunai kepada perniagaan masing-masing.
"Harapan agar permohonan atau polisi pinjaman dipermudahkan supaya dapat sampai kepada pemain industri yang begitu terkesan dengan pandemik COVID-19 ketika ini," katanya kepada Bernama.
Pada 5 Jun, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kemudahan Pembiayaan Pelancongan Penjana bernilai RM1 bilion untuk membiayai inisiatif transformasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam industri pelancongan.
Perincian dana itu akan diumumkan oleh Bank Negara Malaysia pada Julai depan.
Pengurus Besar Taman Buaya Langkawi Sdn Bhd, Adam Fuaad pula memberi saranan agar pengguna yang menerima RM50 dalam akaun e-dompet mereka menerusi Program e-Penjana turut menggunakannya bagi membuat pembayaran semasa bercuti atau melancong.
"Pemain industri berterima kasih kepada keputusan kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri yang sedikit sebanyak membantu sektor pelancongan di Langkawi.
"Selain menunggu secara terperinci pengumuman Julai nanti, Program ePenjana boleh juga dijadikan satu kaedah untuk membuat pembayaran bagi pembelian pakej pelancongan seperti tiket masuk, seterusnya membantu sektor pelancongan domestik," katanya.
Untuk rekod, bagi menggalakkan rakyat Malaysia mengunakan pembayaran tanpa sentuh, kerajaan akan melaksanakan Program ePenjana bernilai RM750 juta dengan mengkreditkan RM50 ke dalam akaun e-dompet para pengguna.
Langkawi yang terkesan dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik COVID-19, mula menikmati tempias positif daripada keputusan kerajaan membenarkan pengoperasian pelancongan domestik seperti diumumkan dalam PKP Pemulihan (PKPP) mulai 10 Jun lepas apabila ia mula dikunjungi orang ramai.
-- BERNAMA
#kerajaan
#Langkawi
#pandemik
#pelancongan
#PENJANA
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#PKPP
#PKS
#rentas negeri
#sektor pelancongan