Muda senaraikan 10 cadangan untuk Belanjawan 2021
Ridauddin Daud
November 2, 2020 15:57 MYT
November 2, 2020 15:57 MYT
KUALA LUMPUR: Lanjutkan moratorium sehingga Jun 2021, bonus dua bulan untuk pekerja barisan hadapan dan skim 1 Keluarga 1 Laptop.
Itu antara cadangan disuarakan parti Muda untuk Belanjawan 2021.
Parti itu juga menyenaraikan tujuh lagi cadangan yang antaranya memberi fokus kepada mahasiswa, pelepasan cukai dan peruntukan adil untuk semua ahli Parlimen.
Menerusi satu kenyataan, Muda mencadangkan bantuan tunai berjumlah RM50 sebulan bagi pelajar universiti bagi tempoh enam bulan sebagai perbelanjaan pembelajaran atas talian.
Selain itu, parti itu berkata geran tambahan bagi latihan semula dan naik taraf kemahiran bagi mereka yang kehilangan pekerjaan perlu disediakan.
Berikut adalah 10 cadangan daripada Muda untuk Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada Jumaat, 6 November 2020:
1. Melanjutkan moratorium sehingga Jun 2021.
2. “1 Keluarga, 1 Laptop” : Menyediakan sebuah komputer riba atau elaun tunai berjumlah RM1,000 bagi setiap keluarga untuk kegunaan pembelajaran atas talian.
3. Bantuan tunai berjumlah RM50 sebulan bagi pelajar universiti sebagai perbelanjaan pembelajaran atas talian bagi tempoh 6 bulan yang akan datang. Ini selari dengan usaha kerajaan menambahkan router internet mudah alih untuk meluaskan jangkauan ke kawasan yang tiada atau lemah cakupannya.
4. Bonus dua bulan untuk pekerja barisan hadapan seperti kakitangan perubatan, polis dan tentera sebagai penghargaan kepada pengorbanan mereka untuk negara dan meningkatkan semangat dalam menangani COVID-19.
5. Geran tambahan bagi latihan semula dan naik taraf kemahiran bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, juga menyediakan bantuan dan penempatan pekerjaan (fokus kepada sektor-sektor tenaga boleh diperbaharui).
BACA: Belanjawan 2021: Cadangan pemimpin PH akan dipertimbangkan demi kebaikan rakyat - Tengku Zafrul
6. Geran tambahan dan pelepasan cukai untuk perniagaan yang mengutamakan pengambilan pekerja tempatan dan graduan baru, serta yang menggunapakai amalan contoh dalam mengurangkan pencemaran dan kesan rumah hijau.
7. Melanjutkan program subsidi gaji untuk perniagaan dari Januari ke Jun 2021, dan memberi subsidi yang lebih tinggi untuk industri-industri yang terkesan teruk seperti F&B, pelancongan, dan penerbangan.
8. Memperluaskan jaringan keselamatan sosial (elaun, dana, dsb.) untuk komuniti rentan seperti mangsa keganasan rumahtangga, komuniti OKU, artis dan seniman, dsb. (akibat daripada peningkatan mendadak kes Covid-19).
9. Peruntukan dana bagi memudah dan menggalakkan pelaburan berkaitan tenaga lestari dan boleh diperbaharui untuk mencipta pekerjaan bernilai tinggi bagi rakyat Malaysia sekaligus bersedia mendepani perubahan iklim
10. Peruntukan dana kawasan Parlimen yang saksama bagi semua Ahli Parlimen untuk memastikan pengagihan kewangan yang lebih pantas ke kawasan terjejas dan proses desentralisasi bantuan untuk kebaikan rakyat berjalan lancar.
Jumaat ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.
Pembentangan itu pastinya dinantikan rakyat di mana ramai terjejas teruk akibat penularan pandemik COVID-19 yang menyebabkan ekonomi Malaysia dan dunia merudum.
#Dewan Rakyat
#Parlimen
#muda
#bajet
#Belanjawan
#Belanjawan 2021
#ekonomi
#pelajar
#cukai
#mahasiswa
#pandemik
#subsidi
#OKU
#COVID-19
#menteri
#pelaburan
#Belanjawa 2021 Pendidikan