MUDA mahu mulakan langkah fokus politik dasar, rapatkan jurang ekonomi rakyat
Israr Khalid
Disember 15, 2021 06:53 MYT
Disember 15, 2021 06:53 MYT
KUALA LUMPUR: Parti MUDA akan bergerak mendesak supaya usaha penggubalan dasar yang lebih sejahtera untuk rakyat Malaysia dapat dibincangkan dan dilaksanakan.
Kata pengasas bersamanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, fokusnya adalah usaha merapatkan jurang ekonomi rakyat dengan meningkatkan gaji minimum, pemberian gaji yang lebih bermaruah dan terutama sekali, merombak sistem pencukaian di negara ini.
“Kita memang ingin memastikan bahawa isu gaji minimum dan gaji bermaruah itu dijadikan satu teras.
“Tidak cukup pada kadar RM1,200 ke RM1,300 sebulan, ia sepatutnya lebih tinggi daripada itu dan dinaikkan kepada kadar yang lebih bermaruah,” katanya.
Untuk menyelesaikan isu jurang ekonomi rakyat ini, kata Syed Saddiq, Malaysia perlu melihat kepada indeks keberkesanan Gini, yang menilai isu jurang pendapatan antara rakyat dan kaya dengan yang miskin sebagai asas untuk mereformasi sistem pencukaian.
“Kita tak boleh kenakan cukai yang akhirnya membebankan golongan pertengahan dan B40, tetapi pada masa sama untuk menambah pendapatan negara, kita patut kenakan cukai yang lebih tinggi kepada golongan maha kaya.
“Bincangkan tentang cukai pusaka atau inheritence tax, cukai keuntungan modal, tetapi kita perlu lakukan perbincangan ini dengan pakar-pakar kerana kita pun tidak mahu mengejutkan pasaran, jadi ia perlu dirancang dengan rapi dan dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Tonton temu bual penuh beliau bersama hos Najib Aroff dalam program Agenda AWANI, di sini:
MUDA mahu fokus politik dasar, isu gaji minimum & gaji bermaruah - Syed Saddiq
Agenda AWANI: MUDA untuk semua rakyat Malaysia