MUDA buat laporan polis terhadap layanan dua darjat menteri langgar SOP

Astro Awani
Mac 16, 2021 16:20 MYT
Mutalib Uthman berkata laporan dibuat bagi menggesa tindakan segera diambil ke atas para menteri yang melanggar SOP PKP. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berhubung perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan golongan menteri dan kenamaan.
Pengasas bersama Parti MUDA, Mutalib Uthman berkata laporan dibuat bagi menggesa pihak kerajaan dan polis mengambil tindakan segera dan adil terhadap layanan dua darjat yang diberikan kepada para menteri, yang melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Selain itu, hasil siasatan terhadap menteri-menteri berkaitan yang didakwa melanggar SOP perlu didedahkan bagi memastikan siasatan dijalankan dengan telus dan teliti, tambah beliau.
“Jadi MUDA menggesa kerajaan menguatkuasakan undang-undang dan hukuman segera, tegas dan adil ke atas semua pihak yang melanggar SOP ini tanpa mengira latar belakang, kedudukan, serta pengaruh kuasa.
“(MUDA) tidak mahu lagi ada dua darjat. Dengan ini, MUDA juga melancarkan satu laman web dikenali sebagai www.lapormenteri.com bagi mengumpulkan semua aduan dan maklumat berkenaan golongan menteri dan golongan kenamaan yang melanggar proses SOP,” katanya kepada pemberita di perkarangan IPD Dang Wangi, hari ini.
Mengulas lanjut, Mutalib mendakwa tindakan pihak berkuasa yang tidak konsisten dalam penguatkuasaan pematuhan SOP juga telah menonjolkan lagi ketidakadilan dan sifat zalim.
Jelasnya, beberapa menteri Kabinet dikesan melanggar SOP PKP termasuk tidak memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan merentas negeri ke kawasan PKP Bersyarat (PKPB).
Terdahulu, polis memaklumkan telah menjalankan siasatan terhadap Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa selepas didakwa ingkar SOP PKP.
Setakat ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, kertas siasatan berhubung kes itu sudah pun dihantar ke Bukit Aman untuk tindakan seterusnya.
#Annuar Musa #SOP #PKP #PKPB #Menteri langgar SOP #dua darjat #MUDA buat laporan polis #Denda dua darjat #rentas negeri
;