Mubarak akan wujudkan kumpulan pemikir bantu BN menjelang PRU14
Bernama
November 1, 2014 16:13 MYT
November 1, 2014 16:13 MYT
Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) akan mewujudkan kumpulan pemikir bagi membantu Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Presidennya Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata hasil tinjauan dan kajian badan bukan kerajaan itu, khususnya mengenai tahap sokongan pengundi terhadap BN, akan diserahkan kepada kerajaan untuk menjadi pelengkap kepada usaha gabungan 13 parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
"Di peringkat kerajaan negeri Sabah juga perlu ada satu kumpulan pemikir untuk meninjau bagaimana peringkat sokongan pengundi menjelang PRU14.
"Saya berharap kepimpinan Yang Dipertua Mubarak Sabah Datuk Yussof Abd Manan membincangkan perkara ini, untuk membantu kerajaan negeri supaya Sabah terus menjadi tiang seri kepada BN. Ini penting," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Katanya Mubarak masih berupaya menyumbang kepada rakyat seperti ketika menjadi wakil rakyat dahulu, tetapi dengan memainkan peranan yang lebih besar.
Jelas Abdul Aziz, BN akan berhadapan cabaran meraih sokongan pengundi baharu pada PRU14 yang semakin meningkat.
"Dijangka 40-50 peratus pengundi pada PRU14 nanti adalah pengundi baharu yang digeledak dengan maklumat yang berbagai-bagai.
"Kadang-kadang kita terlupa dan tak terdaya untuk menangkis maklumat yang bukan semuanya betul. Jadi, pihak Mubarak akan meninjau dan akan mengkaji perkara ini," katanya.
Terdahulu, Abdul Aziz menyampaikan sumbangan Yayasan Kebajikan Golf Tan Sri Muhyiddin kepada dua bekas wakil rakyat Sabah iaitu bekas anggota Parlimen kawasan Bandau, Datuk Gaffar Ariff @ George Abah, 75; dan bekas anggota dewan undangan negeri kawasan Kunak, Unding Lana, 72.
Gaffar mengalami sakit tua, manakala Unding pula lumpuh separa badan akibat strok yang dialaminya kira-kira 19 tahun lepas.
Abdul Aziz berkata Sabah merupakan destinasi terakhir dalam siri jelajah seluruh negara sejak September lepas dalam menyampaikan sumbangan kebajikan kepada anggota Mubarak yang sakit dan uzur.
"Sejak saya menjadi presiden sejak lima tahun lalu, 67 anggota sudah meninggal dunia.
"Pada masa akan datang, kita akan cuba buat lagi program serupa demi menjaga kebajikan anggota Mubarak," katanya.