Muat naik gambar jelik: Penganggur dipenjara enam bulan selepas gagal bayar denda
Bernama
November 7, 2024 17:06 MYT
November 7, 2024 17:06 MYT
KUANTAN: Seorang penganggur dihukum penjara enam bulan kerana gagal membayar denda RM15,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku memuat naik gambar jelik di media sosial membabitkan institusi Kesultanan Pahang pada April lepas.
Mohd Nazre Mohd Sani, 44, selaku orang kena saman, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Maimoonah Aid.
Dia didakwa menggunakan aplikasi TikTok secara sedar untuk membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu gambar jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain yang dilihat di pejabat Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang di Pekan pada 2.27 petang 24 April lepas.
Mohd Nazre didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum denda RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin memohon mahkamah mengenakan hukuman denda di antara RM20,000 hingga RM40,000 atau hukuman setimpal ke atas OKS kerana perkataan yang digunakan jelik serta kasar selain membangkitkan kebencian rakyat kepada institusi diraja Pahang.
Mohd Nazre, yang tidak diwakili peguam, memohon denda minimum atas alasan dia tidak bekerja dan menanggung dua anak serta hanya mampu membayar RM500.
Di mahkamah sama, seorang lagi OKS yang mengaku membuat dan memulakan penghantaran teks jelik menerusi perkhidmatan pesanan ringkas, atau SMS, empat tahun lepas dijatuhi hukuman denda RM5,000.
Muhammad Shabir Abd Kadir, 42, didakwa melakukan kesalahan itu pada 2 Okt 2020 di antara 1.36 hingga 1.37 tengah hari di sebuah rumah di Perkampungan Indera Sempurna di sini pada hari sama.
Dia membayar denda itu.
Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan oleh Faten Hadni manakala Muhammad Shabir diwakili peguam Rifqi Mazlan.
-- BERNAMA