Muafakat Nasional tawaran baharu kepada rakyat- Ahmad Zahid

Rahimah Abdullah
Disember 6, 2019 11:21 MYT
Ahmad Zahid Hamidi hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada Jumaat. - Gambar BERNAMA
Muafakat Nasional adalah tawaran baharu kepada rakyat dan bakal mencetuskan sejuta potensi yang belum pernah terfikir sebelum ini, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut beliau, melalui piagam itu, impian untuk melihat penyatuan orang Melayu telah tercapai tanpa mengenepikan bangsa lain.
"Ingatkah kita tarikh 14 September 2019 menjadi detik bersejarah apabila Piagam Muafakat Nasional ditandatangani. Walaupun impian murni ini mungkin tergendala oleh pendekatan politik yang agak rigid sebelum ini, namun atas ketentuan Allah SWT akhirnya terpaterilah Muafakat Nasional.
"Muafakat Nasional adalah tawaran baharu atau new deal kepada rakyat dan bakal mencetuskan sejuta potensi yang belum pernah kita terfikir sebelum ini,"katanya semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden semasa Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini pada Jumaat.
Dalam ucapan itu, Ahmad Zahid turut melahirkan penghargaan kepada rakyat terutamanya orang Melayu kerana menjadi pencetus Muafakat Nasional.
"Dari rakyat penyatuan ini bermula dan rakyatlah yang akan mempertahankannya. Tanpa rakyat tidak mungkin Muafakat Nasional mampu direalisasikan," tambahnya.
Katanya, Muafakat Nasional adalah cerminan politik berimbang yang melindungi semua kaum.
"Walaupun orang Melayu sebagai terasnya tetapi rakan-rakan kita berketurunan Cina, India, Iban, Kadazan dan kaum-kaum lain turut diraikan dan disantuni seperti pepatah Arab “ Nahnu Du’at La Qudha' ” yang membawa maksud “kita penyantun bukan penghukum”. Saya tegaskan sekali lagi “Nahnu Du’at La Qudha' ” “kita penyantun bukan penghukum”," kata beliau lagi.
Katanya, ujian getir yang pertama bagi Muafakat Nasional hadir dalam bentuk Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai yang memberi banyak pengajaran serta menjadi kayu pengukur kepada sokongan masyarakat bukan Melayu.
"Kemenangan BN dengan majoriti besar 15,086 undi, bukti kesepakatan dalam Muafakat Nasional melangkaui bangsa dan fahaman politik. UMNO, PAS, MCA, MIC, Friends of BN, Veteran UMNO, MUBARAK, NGO malah tokoh-tokoh lama dan sukarelawan telah membuktikan kesepakatan dalam bentuk gerak kerja yang menatijahkan kemenangan yang disokong oleh rakyat. Ini juga bukti kita meraikan kepelbagaian pendapat sekali gus menafikan tohmahan bahawa gabungan 2 parti Melayu terbesar ini adalah rasis dengan label Taliban" ujar Ahmad Zahid lagi.
#Barisan Nasional #PAU2019 #UMNO #Zahid Hamidi
;