Muafakat Nasional Sabah dibubar - Pengerusi

Bernama
Ogos 29, 2024 22:18 MYT
Jismit Japong berkata keputusan itu dibuat kerana mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pengerusinya iaitu Tan Sri Annuar Musa dan kepimpinan pusat NGO tersebut. - Gambar Muafakat Nasional
KOTA KINABALU: Kesemua 30 Ahli Jawatankuasa mengambil keputusan untuk keluar daripada Muafakat Nasional (MN) Sabah dalam mesyuarat yang berlangsung semalam dan membubarkan badan bukan kerajaan (NGO) itu berkuat kuasa hari ini.
Pengerusi MN Sabah Jismit Japong berkata keputusan itu dibuat kerana mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pengerusinya iaitu Tan Sri Annuar Musa dan kepimpinan pusat NGO tersebut.
Beliau berkata kepimpinan pusat MN juga tidak membuat sebarang perbincangan dengan Sabah berhubung pelantikan dua Ahli Dewan Tertinggi walaupun sebelum ini memberi mandat autonomi kepada MN Sabah.
"Pelantikan itu bercanggah dengan prinsip dan konsep MN kerana perkara yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran MN Sabah, perlu juga pihak MN Sabah diberi ruang untuk perbincangan bersama demi keutuhan MN," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Jismit berkata surat pembubaran itu akan diserah kepada MN pusat dalam tempoh 14 hari dan pihaknya kini merancang menubuhkan NGO baharu yang memfokus kepada kebajikan dan ekonomi Sabah.
Semakan di laman sesawang rasmi MN (https://muafakatnasional.org.my/) memaklumkan bahawa MN bukan sebuah parti politik sebaliknya NGO yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia.
-- BERNAMA
#dibubar #Jismit Japong #Annuar Musa #hilang kepercayaan