MTVET: Keperluan suruhanjaya, akta khusus untuk pantau keberkesanan - Pakar
Nabilah Khaleeda
Jun 7, 2024 10:40 MYT
Jun 7, 2024 10:40 MYT
KUALA LUMPUR: Penglibatan 12 kementerian dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Malaysia membuktikan betapa pentingnya bidang ini kepada negara.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Datuk Ts. Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi, untuk memantau dan menyelaras semua aktiviti yang berkaitan, penubuhan Majlis TVET adalah langkah tepat.
“Majlis ini diharapkan dapat membawa kepada penubuhan Suruhanjaya TVET Negara dalam masa terdekat yang akan memantau segala aktiviti bidang tersebut dan menubuhkan akta-akta berkaitan.
“Dengan adanya suruhanjaya dan akta ini, pemantauan program-program TVET akan menjadi lebih mudah dan sistematik dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang,” jelasnya.
Ahmad Mujahid berkata, terdapat beberapa cabaran utama bidang TVET di Malaysia yang memerlukan perhatian serius untuk memastikan penyampaian pendidikan yang berkualiti dan relevan dengan perkembangan industri semasa.
Antaranya termasuk kekurangan tenaga pengajar yang berpengalaman dan berkelayakan.
“Tenaga pengajar berkepakaran tinggi dan komited sering kali memilih untuk bekerja di industri berbanding dalam bidang akademik kerana pendapatan yang lebih lumayan.
“Hal ini menyebabkan kesukaran dalam menyediakan pendidikan berkualiti dalam bidang-bidang yang memerlukan kemahiran tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi kenderaan elektrik (EV), dan robotik,” jelasnya.
Selain itu, kurangnya minat terhadap TVET dalam kalangan pelajar dan ibu bapa dengan persepsi bahawa TVET sebagai pilihan kedua atau jalan terakhir bagi mereka yang kurang cemerlang dalam akademik.
“Persepsi ini perlu diubah. TVET sebenarnya mampu menjadi pemangkin perubahan ekonomi negara pada masa hadapan jika diterima dan dikembangkan dengan betul.
“Pada 2018, lebih 765,000 pelajar aliran TVET telah berjaya dilahirkan dan kadar kebolehpasaran pelajar TVET pada 2023 mencapai 94.5 peratus, antara yang tertinggi secara keseluruhan,” katanya.
Justeru, Ahmad Mujahid berkata, untuk terus memperkasakan bidang ini, adalah penting untuk kerajaan menyediakan subsidi kepada syarikat-syarikat besar yang terlibat dalam program latihan.
“Oleh itu, dengan inisiatif serta langkah yang telah diambil oleh kerajaan dan Majlis TVET Negara, diharapkan lebih ramai pelajar akan memilih TVET sebagai laluan pendidikan mereka,” tegas beliau ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Jumaat.
Secara keseluruhan, dengan kerjasama strategik antara kerajaan, institusi pengajian tinggi, dan industri, serta langkah-langkah yang proaktif, masa depan TVET di Malaysia kelihatan cerah dan mampu memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara.