MTUC: Teliti semula peranan pekerja dan kesatuan pekerja
Anthea Yap
Disember 9, 2015 00:22 MYT
Disember 9, 2015 00:22 MYT
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mempersoalkan integriti laporan Analisis Kepentingan Kebangsaan berhubung peranan serta keperluan kesatuan pekerja kepada Malaysia di dalam Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).
Setiausaha Agungnya, N. Gopal Kishnam menggesa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menarik balik laporan tersebut dengan mencadangkan peranan pekerja dan kesatuan perlu dilihat dari konteks pembangunan negara.
Menurut Gopal, kajian yang dikeluarkan Institut Strategik dan Antarabangsa ISIS itu tidak merangkumi jaminan hak kebajikan pekerja sekaligus menafikan sumbangan positif pekerja.
Perjanjian TPP itu memberi kesan kepada pekerja dan kesatuan pekerja dari pelbagai aspek antaranya harga ubat-ubatan, hak untuk menganjurkan serta menubuhkan kesatuan pekerja.
Selain itu, ia juga memberi kesan terhadap penyelesaian pertikaian antara pelabur dan negara, kehilangan pekerjaan dan kesan ke atas kesejahteraan pekerja.
"Kita dapati ia adalah salah dan kita mahu membawa perkara ini kepada perhatian kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI). Sekiranya tidak, pihak kita tidak akan berdiam diri", katanya pada sidang media berhubung Perjanjian TPP di ibu pejabat MTUC di sini.
Mengulas lanjut, Gopal berkata, pihaknya juga kecewa sektor awam tidak dimasukkan dalam Pelan Konsisten Buruh antara Amerika Syarikat-Malaysia dan isu buruh dalam Perjanjian TPP itu.
"MTUC juga tidak melihat sebarang cadangan yang rasional di bawah pelan konsisten itu bagi pekerja yang telah ditamatkan perkhidmatan oleh majikan mereka", katanya.
Sehubungan itu, MITI diberi tempoh 14 hari untuk menarik balik laporan awal itu dan sekiranya gagal aduan rasmi akan dibuat kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan kerajaan Amerika Syarikat.