MTUC kecam syarikat enggan kurangkan waktu kerja

Sinar Harian
Februari 22, 2023 06:45 MYT
Kamarul Baharin menegaskan, semua pekerja perlu membuat tuntutan sekiranya mereka bekerja lebih masa kepada pihak majikan. - Foto fail/Sinar Harian
SHAH ALAM: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Kementerian Sumber Manusia mengambil tindakan keras kepada majikan yang mengingkari perlaksanaan Akta Kerja 1955.
Setiausaha Agungnya Kamarul Baharin Mansor berkata, penguatkuasaan akta tersebut pada 1 Januari 2023 memberi faedah kepada seluruh pekerja tanpa mengira pangkat dan gaji, namun terdapat laporan majikan tidak memperdulikan pindaan akta yang tersebut termasuk dalam soal pengurangan waktu bekerja dari 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu.
“Pelbagai taktik dan helah majikan untuk menafikan faedah pekerja.
“Tapi malangnya ada syarikat yang memaklumkan kepada pekerja bahawa syarikat tidak boleh mengurangkan waktu kerja kerana belum mendapat arahan bertulis daripada Jabatan Tenaga Kerja,” ujarnya dalam satu kenyataan Rabu.
Dalam pada itu, Kamarul Baharin berkata, terdapat tiga cara dalam pindaan waktu bekerja dan majikan tidak boleh melakukan perubahan waktu kerja dengan memperdayakan mereka.
Tambahnya, syarikat juga telah menghapuskan faedah tertentu susulan pengurangan waktu bekerja.
“Pindaan waktu bekerja ke 45 jam seminggu boleh dibuat dalam tiga cara sahaja iaitu waktu masuk kerja dilewatkan, waktu balik kerja diawalkan atau mengurangkan waktu kerja pada mana-mana hari.
“Ada syarikat yang menambah masa rehat untuk membolehkan waktu balik adalah sama. Syarikat juga mengekalkan waktu kerja shift empat hari seminggu untuk 12 jam sehari dengan mentakrifkan waktu rehat bukan lagi waktu bekerja,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan, semua pekerja perlu membuat tuntutan sekiranya mereka bekerja lebih masa kepada pihak majikan.
Ujarnya, selepas akta tersebut dikuatkuasakan waktu bekerja lebih masa mesti berbeza sebelum dan selepas pindaan.
“Pekerja boleh membuat tuntutan kerja lebih masa tiga jam seminggu di Jabatan Tenaga Kerja yang berdekatan.
“Persatuan majikan perlu memainkan peranan dengan menasihati syarikat untuk mematuhi pindaan Akta Kerja 1955,” katanya.
Beliau turut menyeru, Jabatan Tenaga Kerja perlu membuat audit berkala kepada semua syarikat untuk memastikan mengikut akta tersebut.
“Kerajaan boleh mengarahkan syarikat menjalankan audit kendiri dan perlu menghantar laporan tersebut ke Jabatan Tenaga Kerja yang berhampiran untuk memantau pelaksanaan dan keberkesanan pindaan Akta Kerja 1955,”jelasnya. -Sinar Harian
#MTUC #waktu bekerja #Kamarul Baharin Mansor #tindakan keras
;