MTUC gesa campur tangan kerajaan bela nasib bekas pekerja kontrak LHDN
Bernama
Januari 3, 2023 14:12 MYT
Januari 3, 2023 14:12 MYT
PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa campur tangan kerajaan untuk membela nasib 958 bekas pekerja sambilan Gred 21 di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang ditamatkan kontrak pada 31 Disember lepas.
MTUC juga merayu agar mereka diserap semula dalam jawatan memandangkan ada pekerja yang bidang tugasnya meliputi tugasan perkeranian, dan ada pembantu pegawai LHDN telah bertugas selama 18 tahun, selain terdiri daripada golongan B40 yang mendapat gaji RM65 sehari.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor berkata kesemua bekas pekerja itu telah dimaklumkan mengenai penamatan kontrak sekitar Jun 2022, namun mereka beranggapan kontrak mereka akan diperbaharui pada Disember 2022.
"Setiap tahun pekerja diberitahu kontrak mereka akan tamat, namun selepas 31 Disember ia akan disambung. Jadi mereka anggap setiap tahun begitu (kontrak diperbaharui) sejak 18 tahun lepas, tapi malangnya kali ini ia terjadi betul (tamat kontrak)," katanya selepas menyerahkan surat rayuan pemulihan kerja daripada MTUC untuk bekas pekerja LHDN kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini.
Surat berkenaan diterima oleh Setiausaha Politik Kanan kepada Anwar Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin yang kemudiannya berkata perkara itu akan dibawa kepada perhatian Anwar bagi mencari penyelesaian.
Pada 29 Dis lepas, LHDN dalam satu kenyataan memaklumkan transformasi pendigitalan antara faktor ia tidak meneruskan amalan menggaji pegawai kontrak bulanan dan harian bermula 1 Januari 2023.
-- BERNAMA