MTL: Semua aktiviti pembalakan, rekreasi di Perak dihentikan sementara

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 6, 2022 17:51 MYT
Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, pada masa sama, semua hutan rekreasi ditutup dan aktiviti mendaki gunung tidak dibenarkan. - Gambar fail/Sinar Harian
IPOH: Aktiviti pembalakan tidak dibenarkan di Perak mulai 1 November hingga 31 Disember ini, kerana keadaan cuaca yang tidak menentu, sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, pada masa sama, semua hutan rekreasi ditutup dan aktiviti mendaki gunung tidak dibenarkan.
Bagaimanapun, katanya, semua arahan itu bergantung kepada keadaan cuaca semasa.
“Semua itu adalah ramalan sahaja dan jika keadaan cuaca baik kita buka semula,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut beliau, pihaknya akan mengumumkan perkembangan terkini mengenai perkara itu dan akan ia dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sebelum ini, beberapa buah negeri telah mengambil langkah yang sama bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Misalnya, Kelantan mengharamkan aktiviti penerokaan dan pembalakan hutan pembalakan selama tiga bulan, sejak awal bulan ini.
Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata arahan penguatkuasaan itu sudah dikeluarkan kepada semua Pejabat Perhutanan Daerah seluruh Kelantan untuk memantau kawasan perhutanan.
Setakat ini, terdapat 14 kawasan hutan lipur di bawah selenggaraan Jabatan Perhutanan Perak.
#MTL #aktiviti pembalakan #monsun timur laut #Perak #rekreasi #cuaca #Mohamed Zin Yusop #hutan #mendaki gunung
;