MTL: Orang ramai diingatkan elak aktiviti riadah di kawasan berisiko

Bernama
Oktober 26, 2023 04:30 MYT
Abdul Wahab berkata JBPM akan membekukan 80 peratus cuti pegawai dan anggotanya di seluruh negara bagi menghadapi bencana banjir. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan aktiviti riadah di kawasan perkelahan dan air terjun sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula pada pertengahan bulan depan hingga Mac 2024.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Perhutanan dalam memastikan aktiviti seperti mendaki, berkhemah, menyusuri hutan, mandi air terjun serta beriadah dikawal.
"Saya menasihatkan kerajaan negeri dan Sekretariat Pengurusan Bencana negeri agar memberi penekanan serius terhadap kawalan aktiviti berkaitan lebih-lebih lagi ketika musim hujan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Bencana JBPM 2023 di sini pada Khamis.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini menjangkakan empat hingga enam episod hujan lebat melanda negara bermula bulan depan hingga Feb 2024, yang berpotensi mengakibatkan banjir di kawasan berisiko.
Dalam pada itu, Abdul Wahab berkata JBPM akan membekukan 80 peratus cuti pegawai dan anggotanya di seluruh negara bagi menghadapi bencana banjir.
"Kami hanya membenarkan cuti kepada mereka yang benar-benar memerlukan atau terdapat sebarang perkara yang tidak dapat dielakkan," katanya.
Terdahulu pada majlis itu, wartawan Mohd Firdaus Md Saisi, 38, dan jurugambar Hairul Nizam Baharin, 49, daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merupakan antara 96 penerima sijil penghargaan khas operasi mencari dan menyelamat (SAR) Turki.
Ia sebagai menghargai jasa dan sumbangan mereka ketika operasi dijalankan susulan gempa bumi kuat berukuran 7.8 skala Richter yang melanda selatan Turki dan barat laut Syria pada 6 Feb lepas.
-- BERNAMA
#bencana banjir #gempa bumi #sijil penghargaan #musim hujan
;