MTL: Majikan diminta prihatin, bantu pekerja berdepan musibah banjir - Sivakumar
Bernama
November 9, 2023 08:30 MYT
November 9, 2023 08:30 MYT
KOTA BHARU: Pihak majikan diminta supaya lebih prihatin sekiranya pekerja mereka berdepan dengan musibah banjir berikutan musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku mulai bulan ini.
Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata dalam tempoh musim tengkujuh, banjir kilat dan banjir besar boleh berlaku bukan sahaja di Pantai Timur, tetapi juga di kawasan lain.
"Saya menasihatkan kepada semua pekerja di seluruh negara supaya berhati-hati ketika berdepan keadaan ini.
"Saya juga minta supaya majikan lebih prihatin kalau berlaku insiden banjir dan sebagainya mereka boleh bersedia untuk membantu pekerja bagi meringankan beban yang ditanggung," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Sumber Manusia Peringkat Negeri Kelantan 2023 di sini semalam.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangkakan empat hingga enam episod hujan lebat berlaku sepanjang musim MTL bermula pada 11 Nov ini dan berterusan hingga Mac 2024.
Menurut METMalaysia, episod hujan lebat diramalkan berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak semasa fasa awal Monsun Timur Laut dari November hingga Januari 2024.
-- BERNAMA