MTL: Bomba Perak wajib pegawai hadir ke lokasi bencana walaupun berada di luar kawasan

Amirrul Rabbani
September 14, 2022 17:11 MYT
Azmi berkata, SOP berkenaan terpakai kepada semua pegawai sama ada yang sedang bercuti atau menjalani kursus di luar kawasan menjelang MTL yang dijangka bermula November depan. - Gambar fail
IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan masa respons bagi pegawai yang berada di luar kawasan untuk hadir ke lokasi kejadian.
Pengarahnya, Azmi Osman berkata, SOP berkenaan akan terpakai kepada semua pegawai sama ada yang sedang bercuti atau menjalani kursus di luar kawasan menjelang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November depan.
Katanya di bawah SOP tersebut, para pegawai harus bersedia 24 jam dan tiba di lokasi kejadian seperti kawasan-kawasan yang terlibat dengan tanah runtuh atau banjir dalam masa ditetapkan.
“Sebagai contoh, penolong pengarah operasi saya berada di kampungnya di Kulim, Kedah. Dengan jarak kira-kira 200 kilometer (km), bermakna dia perlu berada di Ipoh ini dalam masa satu jam untuk membantu operasi sekiranya diperlukan.
“Ini merupakan peraturan baharu yang diperkenalkan di Perak pada tahun, ini supaya tindakan untuk operasi menyelamat dapat dilakukan dengan pantas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Negeri Perak di Meru Raya dekat sini pada Rabu.
Tambahnya, ketika di lokasi kejadian pula, pegawai yang ditugaskan harus segera melaporkan kehadiran kepada Pusat Pengurusan Operasi JBPM yang disertai seperti bukti bergambar.
Sementara itu, Azmi berkata bagi menghadapi musim tengkujuh susulan peralihan MTL nanti, JBPM akan mengehadkan kadar cuti semua pegawai dan anggota berdasarkan kepada skala bencana seperti banjir.
Kata beliau, sekiranya keadaan terkawal peratusan cuti mereka akan dihadkan kepada 10 atau 20 peratus namun, jika keadaan sebaliknya, JPBM akan melaksanakan pembekuan cuti terhadap semua pegawai dan anggota.
“Kita juga memiliki aset kenderaan di air terdiri daripada 53 bot pelbagai jenis, manakala sebanyak 15 lori tiga dan lima tan termasuklah kenderaan 49 unit pacuan empat roda kenderaan darat,” katanya.
#JBPM Perak #luar kawasan #pegawai diwajib hadir #monsun timur laut
;