MTDC perkuat peranan bantu syarikat teknologi tempatan majukan sektor pertanian negara
Israr Khalid
September 22, 2024 13:16 MYT
September 22, 2024 13:16 MYT
SERDANG: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) komited untuk terus menjadi ejen penggalak kepada penggunaan teknologi terkini oleh syarikat tempatan, terutamanya bagi kemajuan sektor pertanian negara.
Melalui program pembiayaan komersial dan pembangunan, program penerapan teknologi, serta latihan dan pembangunan kapasiti yang ditawarkan, MTDC memudahkan akses dan adaptasi teknologi dan kepakaran bagi meningkatkan daya saing syarikat tempatan di pentas global.
Program pembiayaan ‘Sandbox’ Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS) dan Dana Pengembangan Perniagaan (BGF) misalnya menyediakan pembiayaan fleksibel yang merangkumi geran dan Nota Janji Boleh Tukar (CPN) sehingga maksimum RM10 juta.
Kedua-dua dana ini memudahkan integrasi penyelesaian berteknologi tinggi agar mampu meningkatkan kecekapan dalam keseluruhan rantaian bekalan, dari ladang hingga ke pemprosesan.
Kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC Mohammad Hazani Hassan, kemajuan sektor pertanian adalah amat penting untuk keterjaminan makanan di Malaysia, justeru teknologi adalah satu cara untuk membangunkan produktiviti pengeluaran makanan negara.
“Dengan menyokong syarikat yang menumpukan kepada teknologi dron pertanian dan AGV (Automated Guided Vehicle) seperti Meraque, kami secara langsung membantu menggalakkan penggunaan teknologi termaju sebagai salah satu penyelesaian dan kemudahan dalam sektor pertanian.
“Penglibatan Meraque dalam Dana National Technology & Innovation Sandbox (NTIS) telah membolehkan syarikat tersebut menguji inovasi teknologi dron pertanian dan AGV mereka di dalam persekitaran terkawal secara tidak langsung membantu mempercepatkan pembangunan dan pengkomersialan teknologi mereka.”
Dron Meraque kini digunakan dalam ladang kelapa sawit dan sedang berkembang ke sektor pertanian lain, mengubah amalan pertanian tradisional dengan automasi dan ketepatan digital yang membawa kepada peningkatan produktiviti dan peningkatan kecekapan operasi bagi ramai petani tempatan.
Sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024, syarikat penyelesaian inovatif tempatan yang menerima manfaat program NTIS MTDC itu melancarkan RACE (Robotic Agro in Complex Environment), Kenderaan Darat Autonomi (AGV) pertama di Malaysia, dalam majlis yang disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu pada Jumaat.
Selain dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja, RACE direka untuk meningkatkan konsistensi penyemburan baja di ladang kelapa sawit, menavigasi secara autonomi di antara pokok, menganalisis persekitaran, serta menggunakan titik lokasi yang berketepatan tinggi untuk operasi yang berkesan.
Dengan teknologi canggih seperti Smart IoT, 3D Lidar, dan GIS, RACE telah mengoptimumkan pengurusan ladang, menjimatkan kos baja melebihi RM5 juta kepada para pelanggan.
“Selalunya kalau menggunakan tenaga kerja manusia, seorang peladang mampu membuat penyemburan baja sekitar tiga hektar sehari tetapi dengan mesin ini, seorang peladang boleh mengendalikan lima mesin berlainan di lima tempat berasingan pada waktu yang sama.
“Jadi kecekapan kerja dapat digandakan sebanyak lima kali, sekali gus berupaya menggandakan penghasilan,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Meraque Md Razalee Ismail.
Berjaya membuktikan kemampuan bakat tempatan, Meraque kini bersedia untuk memperluaskan teknologi mereka ke sektor pertanian lain serta ke peringkat antarabangsa, merancang untuk berkembang ke pasaran Asia Tenggara, Papua New Guinea, dan Afrika, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam teknologi pertanian global.
Ini mencerminkan matlamat MTDC untuk mempromosikan teknologi tempatan di peringkat global sambil memastikan sektor pertanian Malaysia terus berdaya saing dan mampan.
“Hal ini boleh terjadi andai kita beri sokongan kepada syarikat-syarikat tempatan berkenaan teknologi pertanian, malah dalam sektor lain, dari segi pembiayaan, khidmat nasihat, kesedaran pasaran untuk mereka terus berkembang maju.
“Kita jalankan kerjasama antara mereka dengan universiti-universiti tempatan untuk mengaplikasikan teknologi hasil kajian-kajian terbaharu, pada masa sama kita bawa masuk teknologi dari luar untuk digabungkan dengan apa yang kita ada supaya ia dapat disesuaikan dengan industri tempatan.”
MTDC juga mempunyai lebih daripada 100 penyewa di Pusat Teknologi MTDC di UPM, UKM, UTM, UiTM, dan FRIM, dengan tiga daripadanya adalah syarikat berasaskan pertanian yang ditempatkan di Pusat Teknologi UPM-MTDC.