MTDC pacu inovasi tempatan dengan bengkel TVET dan Teknousahawan

Astro Awani
Julai 5, 2024 18:19 MYT
MTDC menganjurkan bengkel Teknousahawan dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) ke-6 untuk golongan pendidik TVET bertajuk Menuju Kelestarian Global dan Pendidikan Berkualiti selama lima hari bermula 1 Julai. -Foto MTDC
KUALA LUMPUR: Dalam usaha menghasilkan lebih ramai teknousahawan tempatan, Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) menganjurkan bengkel Teknousahawan dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) ke-6 untuk golongan pendidik Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bertajuk Menuju Kelestarian Global dan Pendidikan Berkualiti selama lima hari bermula 1 Julai lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Mohammad Hazani Hassan berkata bengkel itu penting bagi membantu golongan pendidik TVET dan pembuat dasar untuk memperoleh pengalaman, pengetahuan, dan kepakaran dalam mendepani IR 4.0 yang membawa pelbagai teknologi baharu.
"Pasaran tenaga kerja dan landskap dunia pekerjaan turut berubah secara drastik sebagai impak digitalisasi kegiatan ekonomi.
"Justeru, TVET memainkan peranan penting dalam mempersiapkan tenaga kerja yang berkualiti untuk menghadapi perubahan teknologi dan ekonomi global ini.
"Maka bengkel ini dapat membantu serta menyelaraskan rangka kerja pendidikan kita dengan keperluan industri moden serta memastikan golongan pendidik kita berada di barisan hadapan transformasi ini," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Mohammad Hazani memberitahu bahawa bengkel ini menggariskan empat teras utama iaitu memperkukuhkan hubungan antara institusi latihan dan industri (struktur dan relevan), mengintegrasikan pendidikan keusahawanan dalam kurikulum latihan (responsif dan inklusif), menyesuaikan diri dengan perubahan dengan menguasai teknologi baharu dan inovasi di tempat kerja (inovasi dan kemajuan), serta meningkatkan kualiti dan profesionalisme pendidik TVET (representasi dan komunikasi).
Katanya, dengan fokus empat teras itu, MTDC yakin akan sentiasa memacu inovasi dalam keusahawanan tempatan.
Menurutnya, penganjuran bengkel sejak 2012 dengan penyertaan kumulatif lebih daripada 500 pendidik dalam bengkel tersebut jelas menunjukkan komitmen MTDC dalam memupuk budaya pembelajaran untuk melahirkan golongan usahawan yang mampu meneroka pasaran sehingga ke peringkat global.
Mohammad Hazani memberitahu bahawa penganjuran bengkel ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kemahiran teknikal semata-mata, tetapi juga untuk membentuk pemimpin dan inovator masa depan yang mampu memacu kemajuan ekonomi dan sosial.
"Dengan membekalkan pendidik TVET dengan pengetahuan dan kemahiran terkini, menunjukkan MTDC 'melabur' dalam masa depan di mana inovasi dan keusahawanan menjadi kebiasaan," ujarnya.
Bengkel ini turut menarik penyertaan 13 pembuat dasar dari Filipina, Nigeria, Sri Lanka, Timor-Leste, Maldives, Turkmenistan, Pakistan, Oman, Bahrain, dan Kemboja yang turut berkongsi kepakaran masing-masing.
#keusahawanan #TVET #MTDC #teknousahawan
;