MTDC komited pacu teknologi 4IR ke arah pertumbuhan mampan
Astro Awani
Oktober 30, 2024 18:35 MYT
Oktober 30, 2024 18:35 MYT
KUALA LUMPUR : Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) komited dalam memajukan inovasi teknologi dan memacu pertumbuhan mampan di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC, Ts. Mohammad Hazani Hassan berkata ia direalisasikan menerusi penggabungan dua inisiatif berimpak tinggi dibawah Road2Growth 2024 Central iaitu MTDC Road2Growth (R2G) serta Pameran dan Persidangan Teknologi Malaysia (MTCE) pada 7 November depan.
Menerusi tema 'Memacu Teknologi 4IR ke Arah Pertumbuhan Mampan', beliau berkata potensi teknologi 4IR boleh dimanfaatkan bukan sahaja untuk meningkatkan produktiviti, malah untuk mencipta peluang baharu, mengatasi cabaran global, dan memacu inovasi negara dalam sektor-sektor utama seperti sektor pembuatan, automasi perkilangan dan sosial.
"Pada sebelah pagi, kami akan menganjurkan persidangan, yang akan melibatkan pemimpin industri, wakil kerajaan dan penyelidik dalam berkongsi pandangan mengenai inovasi dalam teknologi 4IR seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet Benda (IoT), robotik, dan banyak lagi.
"Pada sebelah petangnya pula, sesi akan diteruskan dengan program R2G yang menumpukan kepada pelaburan teknologi dan pembangunan ekosistem teknologi khususnya di bawah program MTDC serta ekosistem Syarikat di bawah MTDC," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI baru-baru ini.
Selain itu, ujar beliau pameran di R2G 2024 Central direka untuk memberi peluang kepada syarikat tempatan dan antarabangsa untuk mempamerkan inovasi mereka dalam teknologi 4IR seperti robotik, kecerdasan buatan (AI) dan automasi.
Malah, katanya terdapat pameran interaktif serta demonstrasi secara fisikal di mana pengunjung dapat menyaksikan teknologi-teknologi terkini di bawah sektor 4IR.
Pada masa sama, pavilion utama MTDC akan mempamerkan kejayaan-kejayaan teknologi dibawah ekosistem MTDC serta perjalanan penting MTDC sepanjang 32 tahun penubuhan sebagai salah satu institusi pelaburan teknologi di Malaysia.
"Ini merupakan platfom bagi syarikat-syarikat berteknologi, usahawan dan penyedia penyelesaian Industri 4IR untuk mempamerkan inovasi mereka dan meneroka peluang kerjasama bersama.
"Melalui acara ini, peserta dapat membina rangkaian, berkongsi idea dan mendapatkan akses kepada sumber teknologi terkini yang diperlukan untuk pertumbuhan dan pembangunan mampan.
"Acara ini juga menyokong agenda Malaysia dalam mengintegrasikan teknologi Industri 4IR ke dalam sektor ekonomi utama, sekali gus memperkukuh kedudukan negara di persada global," ujar beliau.
Mengulas lanjut, Mohammad Hazani berkata R2G 2024 Central terbuka kepada pelbagai pihak yang
berkepentingan dalam sektor teknologi, termasuk pembuat dasar kerajaan, ahli akademik, penyelidik, pemimpin perniagaan serta pelabur dan pakar industri.
FAKTA MTDC
- MTDC memainkan peranan penting dalam menyokong penerapan teknologi 4IR di Malaysia melalui pelbagai inisiatif pembiayaan dibawah MTDC, antaranya program Business Growth Fund (BGF) dan Business Start-Up Fund (BSF).