MTDC bantu syarikat teknologi tempatan ke pasaran antarabangsa
Abd Razak Mohd Ali
Mac 16, 2021 18:30 MYT
Mac 16, 2021 18:30 MYT
IPOH: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) mahu membangunkan syarikat teknologi tempatan sehingga mampu menghasilkan robot yang boleh dijual sekurang-kurangnya di pasaran ASEAN.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus berkata, sebagai permulaan mereka perlu mencuba di pasaran tempatan terlebih dahulu.
Menurut beliau, buat masa ini sudah ada syarikat dalam kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah mengeksport robot mereka ke sembilan buah negara luar.
“Apabila kita berbincang dengan syarikat, kita selalu mahu menekankan bahawa kita cuba dahulu pasaran tempatan tetapi kena fikir bagaimana menembusi pasaran sekurang-kurangnya ASEAN sebab cabaran kita sama.
“Kita memerlukan robot untuk membantu kita dari segi penjarakan dari segi kebersihan dari segi mengurangkan jumlah pekerja asing yang melakukan kerja 3D atau kerja-kerja berat.
“Jadi memang kita berharap dan memang kita bekerjasama dengan syarikat pun untuk mula-mula menembusi pasaran tempatan dan kita akan bekerjasama dengan mereka supaya robot-robot ini boleh dijual sebab kita sudah ada syarikat-syarikat tempatan yang menjual sistem automasi keluar negara,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis pelancaran penggunaan teknologi sentuhan rendah aplikasi robotik dan kecerdasan buatan (AI) di Pasar Ayam Amanjaya, Ipoh, di sini hari ini.
Majlis disempurnakan bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Sebanyak tiga jenis robot digunakan di pasar berkenaan untuk membersihkan lantai, mengangkut barang dan mengutip sisa.
Ketiga-tiga robot itu dibangunkan oleh dua syarikat tempatan, Ideasparq Robotics Sdn. Bhd. dan Akar Indah Engineering Sdn. Bhd. dengan kerjasama MTDC.
Norhalim berkata, dua syarikat itu dipilih di bawah program Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS) untuk memberi peluang kepada syarikat yang sudah mempunyai teknologi untuk dibawa ke lapangan
“Apabila kita bersetuju dengan KPKT untuk memilih pasar ini sebagai pasar pertama untuk kita buat program ini, pilihan kita adalah berdasarkan kepada kemampuan syarikat dan pembuat robot.
“Setakat tiga bulan ni para penjual di pasar ini berpuas hati dengan prestasi robot tersebut.
“Misalnya robot untuk membersihkan pasar, robot yang membantu penjual-penjual mengangkat barang yang berat-berat dan kita juga ada robot yang untuk mengangkut sampah.
“Jadi selama tiga bulan ni dapat menunjukkan kepada kita bahawa pilihan ni adalah pilihan yang tepat,” ujarnya.
Di bawah program NTIS, MTDC juga bekerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan membangunkan aplikasi robotik untuk sektor perubatan dan pertanian.
#MTDC
#Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia
#teknologi
#robot
#Norhalim Yunus
#PKS
#ASEAN
#Pasar Ayam Amanjaya