MT UMNO tidak bincang isu Pakatan Nasional
Fareez Azman
Februari 7, 2020 20:03 MYT
Februari 7, 2020 20:03 MYT
Majlis Tertinggi UMNO yang bermesyuarat pada Jumaat tidak membincangkan isu Pakatan Nasional seperti yang digembar-gemburkan oleh pemerhati politik.
Perkara itu dikongsi Ahli MT, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin sambil menegaskan, perbincangan mesyuarat juga lebih fokus pada usaha memperkuatkan kerjasama Muafakat Nasional dengan Pas.
“Kita bincang perkuatkan Muafakat Nasional diantara UMNO dan PAS bukan Pakatan Nasional.
“Kita bincang bagaimana nak memperkuatkan Muafakat Nasional bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15,” katanya ketika ditemui media di Lobi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara pada Jumaat.
BACA: Kerjasama Muafakat Nasional dengan Dr Mahathir ditolak rakyat - Asyraf Wajdi
Kerjasama Pakatan Nasional dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi bahan perdebatan susulan cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menyertainya mengikuti keputusan Pas yang bersetuju untuk menyokong pembentukan itu.
Ditanya sama ada mesyuarat turut membincangkan tindakan tata tertib terhadap Ahli MT, Datuk Lokman Noor Adam susulan tindakannya mendedahkan rakaman audio membabitkan Ahmad Zahid Hamidi, Bung Mokhtar berkata, isu itu diserahkan kepada Jawatankuasa Displin UMNO bagi tindakan selanjutnya.
“Isu itu ada dibincang, kita (Majlis Tertinggi) akan serah pada Lembaga Displin untuk memutuskan,” kata Bung Mokhtar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah.
Mesyuarat MT UMNO yang bermula pukul 3 petang itu berlangsung selama empat jam.