MT UMNO setuju minta kerajaan tubuh Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia - Asyraf Wajdi
Bernama
Januari 26, 2024 00:36 MYT
Januari 26, 2024 00:36 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebulat suara bersetuju untuk meminta kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia, kata Setiausaha Agung parti itu Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata ia antara ketetapan yang dipersetujui dalam mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di sini malam ini.
"(Penubuhan Suruhanjaya ini) sekali gus (akan) memastikan aspek kebajikan dan hak pekerja ekonomi gig di Malaysia terpelihara," katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.
Terdahulu, Asyraf Wajdi menerima memorandum daripada Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia Abdul Hakim Abdul Rani yang mengandungi beberapa tuntutan berhubung kebajikan golongan itu.
Beliau juga berkata mesyuarat itu turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia yang secara konsisten memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
Beliau berkata komitmen Perdana Menteri dan kerajaan telah menghasilkan keputusan positif Mahkamah Keadilan Antarabangsa, berpandukan kes yang dibawa oleh Afrika Selatan, yang memerintahkan Israel untuk menghalang tindakan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin dan membenarkan bantuan kemanusiaan.
"(Selain itu) UMNO Malaysia, melalui Majlis Ekonomi dan Kewangan UMNO yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Johari Abdul Ghani, akan mengadakan Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera pada 3 Feb 2024 bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia.
"Resolusi Kolokium ini akan dibentangkan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera yang akan dianjurkan pada 29 Feb hingga 2 Mac 2024 kelak," katanya.
Asyraf Wajdi berkata mesyuarat itu juga menetapkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO pada 21 hingga 24 Ogos tahun ini manakala persidangan tahunan peringkat cawangan pada 22 April hingga 2 Jun dan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 21 Jun hingga 29 Julai.
-- BERNAMA