MSPO jamin industri sawit negara mampan, mesra alam - PM

Israr Khalid
Mei 18, 2017 20:29 MYT
Datuk Seri Najib menanam anak pokok sawit sempena Sambutan 100 Tahun Kegemilangan Industri Sawit Negara di Ladang Tannamaram, Bistari Jaya. -Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan Skim Pensijilan Mampan Malaysia (MSPO) sebagai langkah proaktif memastikan kelestarian industri sawit negara.
Katanya, ia bertepatan dalam mendepani pelbagai cabaran dan persepsi negatif yang mampu menggugat keutuhan industri.
"Beberapa NGO mengaitkan kononnya pembangunan tanaman sawit tidak mampan, mencemarkan alam sekitar dan sebagainya.
"MSPO ini yang dibangunkan sejak 2015 selaras dengan undang-undang dan peraturan semasa negara dan pengurusan penanaman kelapa sawit melalui amalan pertanian terbaik," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan 100 Tahun Industri Sawit Malaysia di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata pelaksanaannya secara mandatori bermula 31 Disember 2019 akan menjaga kepentingan industri sawit dan eksport kita ke negara maju.
Pada masa sama, ia juga bagi membuktikan kepada pihak luar, khususnya Kesatuan Eropah (EU), bahawa dakwaan mereka terhadap industri sawit negara adalah salah dan tidak berasas.
"Saya sudah bincang dengan Presiden Jokowi dari Indonesia, kita akan ke Parlimen EU dan mesti beritahu mereka Malaysia dan Indonesia negara yang berkemampuan.
"Dan siapa yang memboikot minyak sawit mungkin akan berdepan dengan tindakan balas dari Malaysia dan Indonesia," tegasnya.
Pengenalan MSPO merupakan antara lima anjakan transformasi yang digariskan Perdana Menteri bagi memastikan kecemerlangan masa depan industri sawit bagi tempoh 100 tahun akan datang.
Empat anjakan lain adalah mempertingkat pelaburan dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C), serta memberi fokus kepada pengukuhan modal insan.
Selain itu, turut disasarkan lebih ramai profesional menceburi bidang sawit, dan peruntukan sebanyak RM1.75 bilion untuk Skim Tanam Semula & Tanam Baharu Sawit bagi tempoh 2010 hingga 2020 yang turut diumum Najib mendapat penambahan peruntukan lagi RM500 juta.
#industri sawit #lima anjakan transformasi #MSPO #Najib Razak #pembangunan dan pengkomersialan #Skim Pensijilan Mampan Malaysia
;