MSNR rapatkan jurang pendapatan pekebun dan peladang kecil - Fadillah
Astro Awani
Februari 20, 2023 15:29 MYT
Februari 20, 2023 15:29 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia bakal memperkenalkan garis panduan baharu pembangunan industrI getah yang dikenali sebagai Malaysia Sustainable Natural Rubber (MSNR).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelaksanaan itu akan membantu industri getah terutamanya pekebun kecil kerana mereka menghuni 90 peratus daripada industri pengeluaran getah tempatan.
“Negara-negara di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) sebagai contoh hanya melaksanakan polisi mampan seperti ini dari satu sudut sahaja.
“Tetapi kita akan melaksanakan polisi yang lebih menyeluruh kerana kita juga mahu membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan terutamanya dalam kalangan pekebun dan peladang kecil,” katanya ditemui selepas merasmikan Persidangan Getah Antarabangsa 2023 (IRC23) anjuran Penyelidikan dan Pembangunan Getah Antarabangsa (IRRDB) di sini, hari ini.
Menurut Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, garis panduan MSNR ini telah dirangka agar mematuhi perjanjian yang telah dimeterai bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Pekebun kecil kita banyak memberi sumbangan walaupun harga getah kini agak rendah dan tidak stabil. Kita harap melalui pendekatan MSNR ini, kita bukan sahaja akan dapat menjaga pendapatan pekebun kecil kita, malah dari sudut sosial mereka juga akan dipelihara,” katanya.
Selain daripada memastikan industri tersebut terus berdaya saing di masa hadapan, beliau yakin melalui MSNR juga dapat berperanan meningkatkan taraf sosial pekebun dan peladang.
Bagi 2022, eksport getah telah menyumbang RM47.6 bilion, bersamaan dengan 3.1 peratus jumlah pendapatan eksport negara.
Setakat ini, Malaysia merupakan pembuat dan pengeksport terbesar untuk sarung tangan getah dan pengeluar getah asli ketujuh di dunia.