MS 692 dikemas kini agar industri batik hasilkan produk berkualiti, patuhi standard - JSM

Bernama
Oktober 14, 2024 05:30 MYT
JSM memaklumkan MS 692 juga menjadi satu panduan penting kepada semua pemain industri, dari pengusaha batik, pembuat, pereka sehingga ke pengguna. - Gambar hiasan/BERNAMA
PUTRAJAYA: Malaysian Standard (MS) 692 yang telah dikemas kini kelak diharap dapat diguna pakai oleh pihak industri batik secara menyeluruh bagi menghasilkan produk berkualiti dan mematuhi standard, kata Jabatan Standard Malaysia (JSM).
JSM memaklumkan sesi konsultasi draf MS berkenaan batik Malaysia telah dianjurkan hari ini bersempena Hari Standard Sedunia di Kota Bharu, Kelantan untuk memberi penerangan terhadap keperluan dan pindaan di dalam draf MS 692 Batik Malaysia-spesifikasi (semakan ketiga).
"Pembangunan MS 692 Batik Malaysia merupakan salah satu usaha dalam memperkukuh dan memperkasakan industri batik Malaysia melalui penetapan standard yang komprehensif dan praktikal," kata kenyataan itu di sini pada Isnin.
Selain itu, JSM memaklumkan MS 692 juga menjadi satu panduan penting kepada semua pemain industri, dari pengusaha batik, pembuat, pereka sehingga ke pengguna.
"Industri batik kita, dengan sejarah dan nilai warisannya, bukan sahaja penting dari aspek seni dan budaya, tetapi juga sebagai sumber ekonomi yang berpotensi besar. Oleh itu, standard ini bukan sahaja bertujuan untuk melindungi kualiti dan keaslian batik, tetapi juga untuk memperluas peluang pasaran, di peringkat domestik dan antarabangsa," mengikut kenyataan itu.
JSM memaklumkan sesi konsultasi itu juga bagi mendapatkan input dan ulasan daripada peserta terhadap draf MS berkenaan agar kandungannya kekal relevan serta dapat diguna pakai oleh pihak yang berkepentingan dan menerangkan isu-isu pelaksanaan dan pematuhan MS 692 Batik Malaysia.
Sesi itu melibatkan ulasan dan komen daripada badan-badan kerajaan, ahli akademik dan industri bagi draf MS 692 Batik Malaysia yang telah dibangunkan oleh kumpulan kerja berkenaan batik, kata JSM.
Hari Standard Sedunia bertemakan "Shared Vision for a Better World" disambut oleh semua badan standardisasi di seluruh dunia termasuk JSM yang merupakan suatu inisiatif di bawah organisasi standardisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Antarabangsa untuk Standardisasi (ISO), Suruhanjaya Elektroteknik Antarabangsa (IEC) dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).
Hari Standard Sedunia disambut sebagai salah satu cara untuk menghargai usaha pakar-pakar yang terlibat dalam pembangunan standard seluruh dunia.
Ditubuhkan pada 28 Ogos 1996, JSM merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang bertanggungjawab untuk membangunkan dan mempromosi MS serta menyediakan perkhidmatan akreditasi kepada badan penilaian pematuhan seperti makmal pengujian, badan pensijilan dan badan pemeriksaan.
-- BERNAMA
#MITI #MS 692 #Batik Malaysia #ahli akademik
;