MRT3 dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2030
Ridauddin Daud
Mac 15, 2022 11:20 MYT
Mac 15, 2022 11:20 MYT
KUALA LUMPUR: Keseluruhan jajaran projek MRT3 yang melibatkan laluan sepanjang 51 kilometer di Lembah Klang dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun 2030.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, tender untuk projek tersebut dirancang untuk dimulakan pada tahun ini melalui lima pakej utama dalam tempoh enam hingga lapan tahun.
Menurutnya, laluan itu dirancang untuk beroperasi secara berfasa dengan fasa pertama akan dibuka seawal Disember 2028 tertakluk kepada proses pengambilan tanah.
“Projek ini akan dibiayai secara hibrid yang melibatkan sumber-sumber pembiayaan seperi sukuk bersama jaminan kerajaan dan juga pembiayaan secara bayaran tertangguh (deferred payment).
“Projek MRT di Lembah Klang adalah antara projek infra rakyat berskala besar yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi tujuan mempertingkatkan kemudahan perkhidmatan pengangkutan awam rel yang cekap, berkesan dan selamat.
“Ia juga adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar Lembah Klang. Pembinaan MRT3 dijangka akan melengkapkan jaringan rel metro di Lembah Klang,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Hannah Yeoh (PH - Segambut) yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan status terkini pembangunan projek tersebut.
Dalam pada itu, Ka Siong berkata, 80 peratus daripada keseluruhan jajaran itu merupakan laluan bertingkat manakala 20 peratus adalah laluan bawah tanah.
“Laluan lingkaran ini akan merentasi rangkaian rel sedia ada, termasuk laluan MRT1, MRT2, LRT, Monorel dan KTM Komuter untuk membentuk 10 buah stesen pertukaran (interchange station) baharu.
“Ini adalah supaya sistem rangkaian pengangkutan awam di Lembah Klang ini lebih menyeluruh, berkesinambungan dan efisien,” ujarnya.