MRT2 mula beroperasi 16 Mac ini - Anthony Loke

Bernama
Mac 3, 2023 23:07 MYT
Anthony Loke yakin bahawa inisiatif kerajaan itu mampu menarik lebih ramai rakyat untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam itu. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Transit Aliran Massa Laluan Putrajaya Fasa Dua (MRT2) akan mula beroperasi pada 16 Mac ini, demikian diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau berkata perkara itu diputuskan selepas mesyuarat pascaKabinet bersama MRT Corp, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), hari ini.
Katanya, taklimat mengenai ujian percubaan operasi MRT Laluan Putrajaya Fasa 2 menunjukkan perkembangan positif dan kementerian berpuas hati dengan semua ujian yang telah dijalankan.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan merasmikan perkhidmatan itu yang bermula jam 3 petang," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Bernama, di sini, malam ini.
Selain itu, beliau juga yakin bahawa inisiatif kerajaan itu mampu menarik lebih ramai rakyat untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam itu.
Berhubung pemberhentian Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atas faktor keselamatan, kelmarin, Loke memohon maaf kepada penumpang yang terjejas dalam insiden berkenaan.
"Ini adalah sesuatu yang amat dikesali dan saya memohon maaf kepada kesemua penumpang yang terjejas. Sememangnya kita sudah ada program naik taraf aerotrain itu seperti yang telah diputuskan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB)," katanya.
Semalam, MAHB memaklumkan perkhidmatan aerotrain dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penggantian tren selepas perkhidmatan itu mengalami kerosakan sehingga menyebabkan penumpang terpaksa berjalan kaki menuju ke bangunan utama.
-- BERNAMA
MRT Putrajaya | Boleh dijadikan alternatif ke pusat bandar
#MRT Corp #KLIA #prasarana #Anthony Loke
;