MRT umum pelan pengurusan trafik di tiga lorong
Bernama
Julai 6, 2013 08:40 MYT
Julai 6, 2013 08:40 MYT
Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) hari ini mengumumkan pelan pengurusan trafik di tiga lorong sebagai sebahagian amalan utama di semua tapak pembinaan MRT.
Menurut kenyataan MRT Corp hari ini, lorong paling kanan jalan susur dari Pusat Bandar Damansara (Jalan Damansuria) menuju Lebuhraya Sprint Highway (menghala PJ) akan ditutup sebagai percubaan selama seminggu dari 8 hingga 14 Julai.
Kenyataan itu menyebut laluan itu sedang dilaksana bagi membolehkan MRT Corp dan pihak berkuasa memantau impak terhadap lalu lintas semasa pembinaan tiang dan landasan bersama stesen MRT Pusat Bandar Damansara serta Semantan.
"Jika penutupan percubaan itu berjaya, laluan ini akan ditutup buat sementara waktu selama setahun," katanya.
Menurut kenyataan itu, satu lagi penutupan ialah di Jalan Semantan iaitu lorong paling kiri di jalan susur dari Jalan Beringin ke Jalan Semantan (menghala KL) di depan Menara HP dan Wisma UN sepanjang 200 meter.
"Lorong itu akan ditutup dari 10 pagi hingga 4 petang dan dari 9 malam hingga 5 pagi selama enam bulan dari 8 Julai hingga 8 Disember.
"Ini berikutan kejayaan penutupan percubaan yang dilaksana pada bulan Jun. Pelan pengurusan trafik telah diluluskan oleh pihak berkuasa dan pemegang konsesi lebuh raya," katanya.
Kenyataan itu juga menyebut penutupan sebahagian lorong buat sementara akan dilaksana di Jalan Damansara depan Muzium Negara antara 11 malam hingga 5 pagi dari 8 hingga 28 Julai.
"Kedua-dua lorong yang menghala ke bandar raya dan Bangsar akan terlibat. Penutupan itu akan dilaksana secara berperingkat di seluruh lorong dengan hanya satu akan ditutup pada satu-satu masa," katanya.
Menurut kenyataan itu, pengguna jalan raya diingat agar berhati-hati apabila memandu berhampiran tapak pembinaan MRT dan mematuhi tanda arah.
"Halangan keselamatan, dinding adang dan kon trafik akan dipasang di tapak pembinaan bagi memastikan pengguna jalan raya serta pejalan kaki mengetahui kerja-kerja sedang dijalankan di kawasan berkenaan.
"Selain it, pasukan MRT Ronda 24 jam akan bertugas di sepanjang laluan untuk membantu sebarang kecemasan," katanya.