MRT Sg Buloh-Kajang sedia terima penumpang 16 Disember ini

Azyyati Ahmad
Disember 13, 2016 15:52 MYT
Fasa Pertama melibatkan bahagian bertingkat utara Laluan SBK sepanjang 21 km dan merangkumi 12 stesen di antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Semantan - Foto MRT
Selepas lima tahun dalam pembinaan, MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) fasa pertama sedia menerima penumpang untuk julung kalinya bermula jam 6 pagi, 16 Disember ini.
Fasa pertama melibatkan bahagian bertingkat utara Laluan SBK sepanjang 21 kilometer (km) dan merangkumi 12 stesen di antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Semantan di Bukit Damansara.
Pengarah Projek Laluan SBK Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Marcus Karakashian berkata, ujian telah dilakukan bagi memastikan sistem-sistem laluan ini adalah baik dan selamat bagi orang ramai.
Beliau berkata, walaupun kesemua ujian telah dijalankan selama beberapa bulan, masalah-masalah awal (teething problems) masih boleh berlaku semasa operasi.
“Saya memohon kepada orang ramai supaya bersabar dan bertimbang rasa. Seperti semua sistem-sistem tren yang baru, masalah-masalah awal akan berlaku.
“Kami akan berusaha untuk menyelesaikan apa-apa isu yang berkaitan jika berlakunya sebarang masalah,” katanya dalam satu taklimat media di sini hari ini.
Bagi perkhidmatan pelanggan, Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Berkepentingan Datuk Najmuddin Abdullah berkata, talian bantuan RapidKL di +603 7885 2585 akan mula menguruskan semua pertanyaan mengenai operasi Laluan SBK.
“Hotline MRT di 1800-82-6868 selepas ini akan memberi tumpuan kepada perkara berkaitan pembinaan Fasa Kedua Laluan SBK dan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya," katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa informasi mengenai hal-hal operasi bagi Laluan SBK akan berada di laman web RapidKL dan platform-platform media sosial sejajar dengan Prasarana yang menjadi pengendali laluan.
Rapid Rail telah mengumumkan sebelum ini bahawa tambang untuk Fasa Satu Laluan SBK akan bermula dari RM1 sehingga RM3.90 antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Semantan.
Hanya tunai dan kad Touch ‘n Go akan diterima dalam jangka masa operasi fasa satu.
Manakala, kad MyRapid tidak boleh digunakan bagi Laluan SBK sehingga satu pengumuman dibuat mengenainya.
Untuk diskaun 50 peratus yang diberikan kepada warga emas, pelajar dan Orang Kurang Upaya (OKU) pula, token dengan tambang konsesi perlu dibeli di pejabat perkhidmatan pelanggan.
Selain tren MRT, bas pengantara Laluan SBK juga akan mula beroperasi di 25 laluan daripada 12 stesen fasa pertama yang akan mula beroperasi pada 16 Disember ini.

Hello... #rapidkl #JOMNAIKMRT @SPADchannel @MRTMalaysia pic.twitter.com/yGXxIaECIj

— RapidKL 03-78852585 (@MyRapidKL) November 22, 2016
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

MRT Corp held a media briefing where info on #SBKLine operations was provided incl feeder bus routes. Media was also taken for a train ride pic.twitter.com/wR8E7H07CX

— Mass Rapid Transit (@MRTMalaysia) December 13, 2016
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sebanyak 112 bas akan digunakan untuk menampung laluan ini. Bas-bas ini akan dikendalikan oleh anak syarikat Prasarana, RapidBus Sdn Bhd.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Bas Pengantara dan Perancangan Infrastruktur, Rudyanto Azhar berkata, laluan-laluan bas pengantara dirancang untuk memberi perkhidmatan kepada kawasan kediaman dan komersial yang berada dalam lingkungan 3 km dari stesen MRT.
“Bas-bas pengantara akan berjalan dengan kekerapan antara 10 sehingga 15 minit. Kami akan memantau keadaan untuk memastikan permintaan dari pengguna dalam tempoh beberapa minggu pertama,” ujarnya.
BACA: PM Najib bawa rakan dalam talian tinjau projek MRT
BACA: Tambang MRT Sungai Buloh-Kajang bermula serendah RM1 - Prasarana
Sementara itu, Pengarah Komersial dan Pengurusan Tanah MRT Corp Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, kemudahan letak kenderaan di Stesen Sungai Buloh, Stesen Kwasa Damansara, Kwasa Sentral, Bandar Utama dan Pusat Bandar Damansara juga akan dibuka pada 16 Disember.
Walau bagaimanapun jelasnya, kemudahan letak kenderaan di Phileo Damansara hanya akan dibuka kemudian.
“Saya perlu menekankan bahawa daripada kesemua kemudahan letak kenderaan Park and Ride yang telah dinyatakan, hanya kemudahan letak kenderaan di Sungai Buloh adalah dimiliki sepenuhnya dan dikendalikan oleh MRT Corp.
“Lain-lain kemudahan letak kenderaan Park and Ride pula dimiliki dan dikendalikan oleh pihak ketiga di bawah perjanjian dengan MRT Corp bagi menyediakan kemudahan-kemudahan untuk pengguna MRT,” katanya.
Pelancaran rasmi Laluan SBK akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Disember, sehari sebelum laluan itu dibuka kepada orang ramai.
#MRT #SBK #Sungai Buloh-Kajang
;