MRT: Pengguna tidak puas hati perjalanan tergendala, minta pampasan
Astro Awani
Januari 5, 2022 16:07 MYT
Januari 5, 2022 16:07 MYT
KUALA LUMPUR: Kebanyakan pengguna perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang meluahkan rasa marah dan tidak puas hati selepas berlakunya kelewatan jadual perjalanan pada pagi Rabu.
Situasi berkenaan menyebabkan pergerakan tren menjadi lebih perlahan dan berhenti lebih lama di platform sehingga menimbulkan rasa kurang senang pengguna sekali gus bertindak memuat naik perkara itu di media sosial.
Ramai yang merungut terlewat sampai ke pejabat dan lebih teruk lagi ada antara majikan mereka tidak menerima alasan yang diberikan meskipun ia benar belaka.
Justeru, ada yang meminta dibayar pampasan atas kejadian yang menimpa mereka ditambah pula dengan kenaikan harga tiket bagi pas perjalanan tanpa had dari RM30 ke RM50.
Seorang pengguna Instagram, @nathanrao menerusi komennya menulis:
“Majikan tak memahami... Maaf tak diterima... Nak pampasan”
Bagi @firmax3_by_fad, dia mengalami kelewatan sebelum selamat ke pejabat sekitar pukul 10.20 pagi.
@mangkey_h , dia meminta agar pihak yang bertanggungjawab meningkatkan kualiti pemeriksaan agar kejadian sedemikian tidak kerap berlaku.
Dalam pada itu, ramai juga menyuarakan rasa bimbang ekoran tiada langsung penjarakan fizikal sewaktu kejadian dan ditakuti akan mencetuskan kluster baharu COVID-19.
Ada juga pengguna Twitter sanggup berpatah balik ke rumah dan mengambil keputusan untuk memandu ke pejabat.
Tidak sekadar minta pampasan, ada juga yang menuntut bayaran perkhidmatan Grab yang digunakan.
Menerusi akaun perkhidmatan pelanggan Rapid KL, operasi kembali pulih sekitar pukul 12 tengahari.