MRT laluan Putrajaya mampu kurangkan kesesakan jalan raya ke ibu kota

Bernama
Mac 12, 2023 16:46 MYT
MRT Putrajaya secara keseluruhannya melibatkan laluan sepanjang 57.7km dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral. - Bernama
PUTRAJAYA: Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Dua yang bakal beroperasi 16 Mac ini mampu mengurangkan kesesakan jalan raya terutamanya bagi jalan dan lebuh raya yang menuju ke pusat bandar Kuala Lumpur.
Kebelakangan ini, pengguna jalan raya terutamanya dari Putrajaya dan Seremban berdepan masalah kesesakan lalu lintas kritikal antaranya di Lebuhraya Maju Expressway dan Lebuhraya Sungai Besi hingga menyebabkan kelewatan ke tempat kerja atau destinasi lain.
Dengan laluan sepanjang 40.2 kilometer (km) dari Kampung Batu ke Putrajaya Sentral, operasi Fasa Dua tersebut melibatkan beberapa lokasi atau stesen 'hot spot' antaranya Sungai Besi, Chan Sow Lin dan Ampang Park yang merupakan tempat tumpuan warga kota yang bekerja.
Ia turut melibatkan laluan dengan perkhidmatan stesen pertukaran antara laluan transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya, MRT Kajang dan monorel.
MRT Putrajaya secara keseluruhannya melibatkan laluan sepanjang 57.7km dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral, dengan 36 stesen termasuk sembilan stesen bawah tanah dan 49 set tren.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim ketika tinjauan pengoperasian laluan Putrajaya hari ini, berkata kesemua tren dalam laluan MRT Putrajaya menggunakan tahap automasi empat (GoA4), iaitu tren dikawal secara automasi tanpa penggunaan sumber manusia.
Beliau berkata sistem automasi yang serba canggih itu dilengkapi dengan teknologi terkini yang dikawal sepenuhnya dari pusat kawalan bertempat di Sungai Buloh.
"Bila kita menggunakan sistem automatik, macam guna robotik, kita perlu memastikan kemahiran yang ada pada individu yang mengendalikan sistem itu berada pada tahap optimum," katanya.
Terdahulu, pengamal media turut dibawa merasai sendiri pengalaman menaiki MRT dari Putrajaya Sentral ke stesen Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang mengambil masa kira-kira satu jam 15 minit bagi perjalanan dua hala.
Tinjauan Bernama turut mendapati stesen HKL yang berhampiran Institut Urologi dan Nefrologi hospital berkenaan antara stesen yang mesra pengguna dengan eskalator dan tangga tidak terlalu tinggi serta mempunyai travelator seperti yang terdapat di terminal lapangan terbang.
Menurut Mohd Zarif, ia antara inisiatif mesra rakyat di stesen tersebut yang dilaksanakan dengan mengambil kira kepentingan pengguna khususnya pesakit yang akan ke HKL.
Selain itu, beliau berkata kaedah pembayaran tanpa tunai yang ketika ini menggunakan kad Touch 'n Go juga mungkin akan diperluas dengan penggunaan kad kredit dan debit, namun kaedah itu belum diaplikasikan setakat ini.
"Bagaimanapun, pembinaan mesin pembayaran di stesen MRT telah dilengkapi dengan sistem transaksi pembayaran menggunakan kad ATM mahupun jam tangan pintar bagi penggunaan pada masa depan," katanya menambah pihak Prasarana Malaysia Berhad akan mengumumkan perkara mengenainya.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan pengguna menggunakan pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan, My50 sebagai langkah penjimatan.
MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua itu akan dibuka kepada pengguna bermula 3 petang pada 16 Mac ini selepas ia dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu melibatkan perjalanan dari Kwasa Damansara hingga Kampung Batu telah dibuka untuk pengguna pada 16 Jun lepas.
Dijangka 104,000 pengguna sehari akan memanfaatkan laluan MRT Putrajaya yang menelan belanja RM30.53 bilion itu.
--BERNAMA
#MRT Corp #tren #kesesakan lalu lintas #MRT #Putrajaya
;