MRT Laluan Putrajaya dijangka manfaatkan 100,000 penumpang sehari
Ridauddin Daud
Mac 16, 2023 15:22 MYT
Mac 16, 2023 15:22 MYT
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya yang mula beroperasi pada jam 3 petang, 16 Mac 2023 dijangka memanfaatkan 100,000 penumpang dalam tahun pertama pembukaannya.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan pada Khamis berkata, perkhidmatan bas perantara akan turut dilancarkan bagi menyokong operasi tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, perkhidmatan bas perantara tersebut melibatkan 92 buah bas dengan 31 laluan meliputi kira-kira 350 kilometer.
“Tempoh perjalanan dari Putrajaya Sentral ke Kwasa Damansara mengambil masa 84 minit.
“Ketersediaan jaringan pengangkutan awam ini juga dijangka menambah baik keadaan lalu lintas semasa dan memberi nilai tambah kepada ekonomi setempat.
“Selain itu, ia juga menggalakkan penggunaan pengangkutan awam ke arah sasaran 40 peratus menjelang tahun 2030,” menurut kenyataan itu.
MRT Laluan Putrajaya mempunyai sebanyak 36 stesen, merangkumi 27 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah.
Daripada jumlah itu, 10 stesen adalah stesen pertukaran atau sambungan, yang memudahkan penumpang dari Laluan Putrajaya untuk ke laluan-laluan rel sedia ada.
“Sebanyak 17 stesen dilengkapi dengan kemudahan tempat letak kereta yang menyediakan sejumlah 5,878 petak parkir.
“Pengoperasian perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya ini akan menggunakan sebanyak 49 buah tren empat gerabak berkapasiti 1,200 orang dengan kekerapan lima minit di waktu puncak dan 10 minit di luar waktu puncak,” menurut kenyataan itu lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis turut mengumumkan tambang percuma untuk perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) untuk Laluan Putrajaya.
Menurutnya, tambang percuma itu melibatkan semua 36 stesen dalam laluan itu dari Stesen Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral.
Tambah Perdana Menteri, tawaran itu berkuatkuasa jam 3 petang pada 16 Mac hingga 31 Mac 2023.