MRT Laluan Putrajaya bakal beri kesan positif kepada hartanah di kawasan sekitar

Ridauddin Daud
Jun 16, 2022 18:32 MYT
Projek MRT Laluan Putrajaya juga akan memberi manfaat kepada kawasan berhampiran kerana biasanya laluan MRT akan menghubungkan beberapa lokasi dalam satu laluan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu secara rasminya mula beroperasi hari ini, secara tepatnya pada jam 3 petang tadi.
Dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis, laluan menghubungkan Putrajaya Sentral dan Kwasa Damansara itu, diharap mampu mengurangkan kesesakan di Kuala Lumpur.
Sebanyak 36 buah stesen dibina di sepanjang 57.7 kilometer laluan tersebut dan bagi pakar hartanah, projek berkenaan pasti memberi kesan terutamanya dari aspek harga hartanah di sepanjang kawasan MRT Laluan Putrajaya.
BACA: MRT Laluan Putrajaya diharap kurangkan kesesakan di KL - PM
Pengurus Negara iProperty bagi Malaysia, Shylendra Nathan berkata, berdasarkan data terdahulu berkaitan hartanah di kawasan yang ada hub pengangkutan, sememangnya terdapat pembangunan yang agak ketara di kawasan-kawasan tersebut.
“Seperti yang anda tahu, seperti tahun-tahun sebelum ini juga, MRT Laluan Putrajaya bukanlah projek MRT yang pertama. Jika anda melihat sejarahnya, semua projek MRT yang dilancarkan, hakikatnya, jumlah pembangunan banyak dilaksanakan di kawasan tersebut.
[INFOGRAFIK] Transit Aliran Massa (MRT) | Laluan Putrajaya Fasa Satu
“Kita boleh katakan, ini juga boleh berlaku di kawasan ini (Putrajaya dan kawasan sekitar) dan memandangkan jumlah penduduk Putrajaya yang ramai, termasuk penjawat awam dan juga orang yang tinggal di sana.
“Ada banyak pembangunan dari segi hartanah yang dilaksanakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Adalah sangat bagus untuk mempunyai hub pengangkutan di sana juga,” katanya juga.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas “Sesi Media Eksklusif Bersama iProperty.com.my, Menangani Isu Penyelidikan Hartanah Lazim” di sini pada Khamis.
Tambah beliau, projek tersebut juga akan memberi manfaat kepada kawasan berhampiran kerana biasanya laluan MRT akan menghubungkan beberapa lokasi dalam satu laluan.
MRT laluan Putrajaya dijangka catat penumpang lebih 104,000 orang
Berdasarkan pelan MRT Laluan Putrajaya, beberapa kawasan dijangka menerima kesan positif, antaranya, lokasi berhampiran bangunan Tun Razak Exchange (TRX).
Terletak di Jalan Tun Razak, antara jalan paling sibuk di Kuala Lumpur, enam stesen ditempatkan dari Hospital Kuala Lumpur hingga ke TRX dengan stesen Raja Uda, Ampang Park, Persiaran KLCC, Conlay dibina di antara dua lokasi utama itu.
Kewujudan perkhidmatan MRT di kawasan sesak sebegitu dijangka mampu mengurangkan kesesakan dan menggalakkan lebih ramai menggunakan pengangkutan awam kerana ia dekat dengan bangunan pejabat.
BACA: Fasa 1 MRT laluan Putrajaya beroperasi hari ini
Selain itu, kawasan sekitar Serdang dan Cyberjaya juga dijangka menerima limpahan pembangunan apabila terdapat 10 stesen ditempatkan di sana, bermula daripada Serdang Raya Utara hingga Cyberjaya City Centre.
Setakat ini, Fasa Satu laluan tersebut akan melibatkan 12 stesen, dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu dengan dengan kekerapan empat hingga enam minit pada waktu puncak.
#MRT #MRT Laluan Putrajaya #ismail sabri yaakob #Perdana Menteri #hartanah #iproperty #Shylendra Nathan
;