MRT: Kawasan peralihan struktur geologi punca kejadian tanah mendap

Azyyati Ahmad
April 17, 2015 12:51 MYT
Kata Mahmood, walaupun ini merupakan kali ketiga insiden tanah mendap berlaku dalam projek MRT namun bilangan tersebut merupakan satu bilangan yang kecil berbanding projek penggerudian terowong yang lain. - Foto Fail
Kawasan peralihan struktur geologi dikatakan punca berlakunya insiden tanah mendap semalam di siar kaki Jalan Bukit Bintang dalam projek Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp).
Insiden yang dilaporkan berlaku pada jam 6 pagi Khamis itu berlaku di kawasan peralihan dari tanah jenis batu kapur ke batu keras.
Menurut Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp Mahmood Abdul Razak, keadaan geologi yang sensitif ini menambahkan lagi cabaran dalam projek tersebut.
“Kawasan insiden semalam berlaku betul-betul di kawasan peralihan struktur tanah iaitu dari batu kapur ke batu keras, maka ia menambahkan lagi cabaran dalam kerja-kerja penggerudian terowong.
“Namun ia merupakan perkara biasa dan bukanlah masalah teknikal, tetapi lebih kepada isu geologi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Kata Mahmood, walaupun ini merupakan kali ketiga insiden tanah mendap berlaku dalam projek MRT namun bilangan tersebut merupakan satu bilangan yang kecil berbanding projek penggerudian terowong yang lain.
“Peneraju projek MRT, MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd sedar akan struktur geologi tersebut dan telah menggunakan teknologi ‘Tunnel boring machine’ dari pengeluar Jerman yang pernah menang dua anugerah inovasi penggerudian terowong di Eropah - khas bagi mengatasi masalah ini. Teknologi ini juga merupakan yang pertama digunakan di dunia.
“Dengan teknologi ini juga kita lihat punya peningkatan. Dengan tiga kejadian tanah mendap yang dialami MRT setakat ini sebenarnya menunjukkan bahawa jumlah itu amat kecil jika dibandingkan dengan 40 kejadian tanah mendap dalam projek Smart Tunnel sebelum penggunaan teknologi tersebut,” jelas Mahmood.
Pada masa yang sama, Mahmood menafikan insiden tanah mendap yang berlaku bakal menyebabkan berlakunya penambahan kos.
“Insiden ini tidak memberi kesan ke atas kos. Kos masih sama. Kontrak projek ini telah ditandatangani pada nilai tertentu yang turut mempertimbangkan keadaan geologi yang sensitif pada sesetengah kawasan.
“Apa-apa insiden telah diambil kira sejak dari awal, jadi tidak akan ada kesan terhadap kos,” kata Mamhood.
MRT Corp dalam satu kenyataan berkata, kejadian yang berlaku pada jam 6 pagi Khamis itu bermula dengan insiden paip air yang pecah sehingga menyebabkan tanah mendap dan berlubang.
Rentangan 100 meter Jalan Bukit Bintang antara persimpangan Jalan Imbi dan pusat beli-belah Pavilion ditutup sejurus kejadian tanah mendap itu dilaporkan pagi semalam, sementara lalu lintas dari Jalan Tun Razak menghala ke Pavilion dialihkan ke Jalan Imbi.
Polis juga menutup persimpangan Jalan Imbi kepada trafik dari Jalan Raja Chulan. Kenderaan dari Jalan Raja Chulan juga tidak dibenarkan membuat pusingan kanan memasuki Jalan Imbi.
Setakat 10 pagi tadi, proses pembaikpulihan telah selesai.
#Mahmood Abdul Razak #MRT Corp #Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp
;