MRT HKL mudahkan warga kota, pesakit dapatkan rawatan
Bernama
Mac 17, 2023 07:53 MYT
Mac 17, 2023 07:53 MYT
KUALA LUMPUR: Pengoperasian penuh Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya membantu memudahkan orang ramai dan pesakit Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapatkan rawatan menerusi pembukaan stesen di hospital itu.
Tinjauan Bernama mendapati stesen itu yang berhampiran Institut Urologi dan Nefrologi hospital berkenaan antara stesen yang mesra pengguna dan dilengkapi kemudahan laluan gerak atau walkalator sepanjang 400 meter.
Juruelektrik bebas, Radzuan Hashim, 51, berkata perjalanannya ke HKL dari Taman Kinrara, Puchong, menjadi semakin mudah dan cepat berbanding sebelum ini yang perlu bertukar tren.
"Sebelum ini, saya perlu mengambil Aliran Transit Ringan (LRT) dari Kinrara BK5, turun di stesen Hang Tuah dan bertukar kepada Monorel untuk ke stesen Chow Kit seterusnya berjalan kaki ke HKL. Kini, saya tidak perlu lagi membuat banyak pertukaran dan ia menjimatkan masa," katanya.
Pesara, Joseph Edward Raj, 77, pula, mengambil peluang menggunakan kemudahan itu untuk mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) yang terletak berhampiran HKL.
"Biasanya, saya memandu tetapi hari ini saya sengaja menaiki MRT untuk melihat kemudahan dan laluan untuk ke IJN. Saya lihat boleh berjalan ke sana kerana jaraknya dalam satu kilometer, cuma cuaca panas buatkan saya rasa letih berjalan," katanya.
Justeru, seorang pesakit di HKL, Syafiqah Musa, 30, mengesyorkan agar pihak berkaitan menyediakan kemudahan kenderaan ulang-alik di pintu keluar stesen itu bagi memudahkan pergerakan terutamanya buat golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
"Saya lihat untuk berjalan dari pintu keluar stesen ke beberapa jabatan dan klinik di hospital itu agak jauh. Bagi orang muda mungkin tiada masalah, tetapi tentu ada kesukaran buat golongan OKU dan warga emas," katanya yang juga pengguna tegar pengangkutan awam.
Bagi Eksekutif Teknologi Maklumat, Hafizullah Mokhtar Lopi, 44, beliau berpuas hati dengan perkhidmatan itu yang disifatkan sebagai mesra OKU.
"Saya dan keluarga membawa anak yang menghidap Celebral Palsy dan terpaksa berkerusi roda. Alhamdulillah, tiada masalah yang kami hadapi dan menerusi pemerhatian saya bermula dari tapak parkir, lif hinggalah menaiki MRT kemudahan untuk golongan OKU mencukupi," katanya.
Dalam pada itu, meskipun tambang perjalanan MRT2 masih belum diumumkan, novelis Anuar Darwisy, 29, yakin dan percaya kadar yang bakal dikenakan berpatutan dan fleksibel.
"Sebelum ini, jika tidak memandu saya akan menggunakan perkhidmatan tren Express Rail Link (ERL) dari KL Sentral ke Putrajaya yang berharga RM14 untuk perjalanan sehala.
"Selepas ini, saya hanya perlu naik dari stesen MRT Titiwangsa untuk perjalanan selama sejam ke Putrajaya dan saya percaya harga tambangnya juga jauh lebih murah," katanya yang menetap di Sentul.
Berbeza buat Nurul Izzati Bahari, 34, yang memanfaatkan tambang percuma hingga 31 Mac ini dengan membawa anaknya, Nur Raihana Mohd Syafiq, 4, bersiar-siar menaiki MRT walaupun hanya berpatah balik antara stesen MRT HKL dan MRT Persiaran KLCC
Operasi Fasa Kedua MRT Laluan Putrajaya yang dibuka sepenuhnya bermula Khamis melengkapkan jajaran sepanjang 57.7 kilometer (km) dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral, merentasi 36 stesen iaitu 27 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah berserta 49 set tren.
Laluan Putrajaya Fasa Satu melibatkan perjalanan dari Kwasa Damansara hingga Kampung Batu sepanjang 17.5km, mula beroperasi pada 16 Jun tahun lepas.
-- BERNAMA