MRT ejen perubahan dalam landskap pengangkutan - CEO
Bernama
Julai 16, 2017 07:46 MYT
Julai 16, 2017 07:46 MYT
Fasa kedua Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) yang bakal dilancarkan esok akan menjadikan perkhidmatan tren baharu itu sebagai ejen perubahan dalam landskap pengangkutan negara.
Menyediakan pengangkutan awam yang murah dan efisien, laluan SBK akan memainkan peranannya dalam memberi kemudahan kepada kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan di sepanjang laluan 51 kilometer (km) dengan 31 stesen antara Sungai Buloh dan Kajang.
Ini kerana kawasan di barat laut dan tenggara Lembah Klang tidak mempunyai mana-mana laluan perkhidmatan tren bandar.
Perkhidmatan Transit Aliran Ringan laluan Kelana Jaya, Sri Petaling dan Ampang serta sambungannya hanya untuk lingkungan timur laut dan barat daya Lembah Klang.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Datuk Seri Shahril Mokhtar menyifatkan pelaksanaan MRT Laluan SBK sebagai ejen perubahan dalam landskap pengangkutan negara yang akan memberi manfaat kepada rakyat dalam banyak cara, satu daripadanya adalah untuk meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan untuk penduduk yang tinggal di kawasan yang kurang mendapat perhatian.
Shahril berkata dalam fasa pertama MRT Laluan SBK yang telah siap, 11 daripada 12 stesen dibina di kawasan yang belum menerima sebarang perkhidmatan tren dan fasa kedua merangkumi 13 daripada 19 stesen.
“Ini mencerminkan bahawa MRT meningkatkan kesalinghubungan khususnya di kawasan pinggir bandar sekali gus membolehkan mereka meningkatkan pergerakan,” katanya kepada Bernama.
Tambang untuk MRT Laluan SBK juga berpatutan, bermula daripada RM1 hingga RM6.40, membolehkan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana menikmati keistimewaan perkhidmatan MRT, katanya.
Shahril berkata MRT akan mengurangkan beban rakyat kerana ia secara tidak langsung akan menurunkan kos sara hidup mereka.
“Ia lebih murah daripada memandu sendiri kereta anda dengan harga petrol yang tidak menentu, tiada caj letak kereta, kurang penggunaan kenderaan anda sekali gus dapat memanjangkan jangka hayat kenderaan anda,” katanya.
Dari segi perspektif alam sekitar, ia lebih hijau kerana perkhidmatan tren ini tidak menggunakan bahan api dan orang ramai yang menaiki tren akan mengurangkan penggunaan kereta mereka menyebabkan pencemaran udara dapat dikurangkan, jadi ia kemenangan berganda untuk alam sekitar, tambahnya.
Shahril berkata pada peringkat makro, MRT Laluan SBK akan terus menyumbang dalam meningkatkan Pendapatan Negara Kasar (GNI) menerusi kewujudan peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi dengan 130,000 peluang pekerjaan diwujudkan semasa tempoh pembinaanya sejak 2011 hingga kini.
Selain itu, kawasan di sepanjang jajaran SBK akan terus menunjukkan kenaikan dalam nilai hartanah dan pembinaan kira-kira 1.2 juta kaki persegi pembangunan komersil dan kediaman.
Beliau berkata pelaksanaan projek ini juga akan menyaksikan penjimatan 280 juta jam setahun dalam produktiviti pekerja dan RM20 bilion setahun dalam penjimatan masa.
“Saya rasa inilah buat pertama kali, kerajaan Malaysia membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk projek infrastruktur dan mereka serius untuk membina projek ini buat rakyat. Usaha untuk meningkatkan infrastruktur awam adalah usaha yang tidak pernah berakhir, sama seperti MRT,” katanya.
Fasa kedua MRT Laluan SBK terdiri daripada 19 stesen baharu yang mana tujuh terletak di bawah tanah.
Stesen berkenaan adalah Muzium Negara, Pasar Seni, Merdeka, Bukit Bintang, Tun Razak Exchange Centre, Cochrane, Maluri, Taman Pertama, Taman Midah, Taman Mutiara, Taman Connaught, Taman Suntex, Sri Raya, Bandar Tun Hussein Onn, Batu Sebelas Cheras, Bukit Dukung, Sungai Jernih, Stadium Kajang dan Kajang.
Setiap tren MRT Laluan SBK mempunyai empat gerabak, membolehkan kapasiti sebanyak 1,200 penumpang setiap perjalanan dengan penumpang harian dianggarkan sebanyak 400,000 orang. Tren ini akan bergerak pada frekuensi 3.5 minit pada waktu puncak.
-- BERNAMA