MRT Corp, DBKL meterai MoU, mudah cara pelaksanaan projek MRT3

Ridauddin Daud
April 5, 2022 16:36 MYT
Shahidan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman di antara (kanan) MRT Corp yang diwakili oleh Mohd Zarif (kanan) dan Mahadi di Menara DBKL Kuala Lumpur hari ini. - Foto ASTRO AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) menandakan komitmen kedua-dua pihak dalam melestari dan memakmurkan Kuala Lumpur.
MoU tersebut juga mengukuhkan kerjasama antara MRT Corp dan DBKL dalam membangunkan bandar itu sebagai ‘Bandar Untuk Semua’ termasuk memberi tumpuan terhadap pengangkutan awam.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kerjasama dua pihak itu juga dijangka memperlengkapkan dan memudah cara projek MRT3 yang akan dibina kelak.
BACA: MRT3 laluan penting lengkapkan rangkaian transit bersepadu Lembah Klang - Wee Ka Siong
BACA: MRT3 dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2030
Menurutnya, beliau juga mencadangkan projek tersebut dilancarkan pada Jun atau Julai tahun ini memandangkan projek MRT2 akan mula dibuka pada Jun tahun ini.
“Kita akan mempermudahkan, memperlengkapkan usaha-usaha tersebut. Kerja saya ini nak pastikan koordinasi semua agensi untuk kita percepatkan projek ini dan saya difahamkan projek MRT2 akan dibuka pada Jun ini.
“Semua ini akan lengkapkan antara satu sama lain. Projek MRT3, kita akan bantu dengan hebat dan dahsyatnya supaya ia menjadi kenyataan. Saya harap Perdana Menteri boleh lancar projek ini selewat-lewatnya pada Julai nanti.
“Tapi seawalnya adalah pada bulan Jun 2022. Masa buka MRT2, mereka juga boleh lancarkan MRT3. Ini adalah satu pembangunan yang mesti berada di Kuala Lumpur,” katanya.
Tambah beliau, pembangunan berskala besar dan berskala kecil perlu berjalan seiring di Kuala Lumpur kerana ia membantu antara satu sama lain.
DUN Selangor | Pastikan projek ECRL, MRT3 diteliti sebaiknya
Shahidan berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU antara MRT Corp dan DBKL bagi membentuk kerjasama strategik dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) 2040 pada Selasa.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim.
Tambah Shahidan, DBKL juga akan membantu MRT Corp termasuk dari aspek perancangan dan pelbagai aspek lain termasuk pengambilan tanah.
“Nak laksanakan projek, perlukan ada pengambilan tanah dan perancangan pula, DBKL antara agensi utama di samping Pejabat Tanah yang akan terlibat secara langsung untuk memperlengkapkan pelaksanaan projek MRT3.
“Saya cadangkan projek MRT3 dilancarkan pada bulan Jun atau Julai nanti, itu yang terbaik.
“Saya minta percepatkan supaya pemikiran rakyat bahawa rakyat cukup memerlukan untuk guna pengangkutan awam dan jadikan ini budaya,” ujarnya.
[TERKINI] Sidang media kerjasama strategik DBKL dan MRT Corp
#DBKL #MRT Corp #MRT #Shahidan Kassim #Kuala Lumpur #Menteri Wilayah Persekutuan
;