MRSM terima lebih 70,000 permohonan kemasukan tahun ini - Asyraf Wajdi

Bernama
Mac 18, 2023 22:13 MYT
Asyraf berkata, jumlah 73,134 permohonan itu jelas menunjukkan MRSM masih menjadi pilihan pada hari ini. - Foto Astro AWANI
KOTA BHARU: Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dilihat masih menjadi institusi pengajian terulung apabila menerima sebanyak 73,134 permohonan kemasukan pada tahun ini.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata jumlah itu adalah 10 kali ganda berbanding tempat disediakan iaitu untuk 7,169 pelajar sahaja dari seluruh negara.
Beliau berkata jumlah permohonan itu jelas menunjukkan MRSM masih menjadi pilihan pada hari ini.
"Di seluruh negara ada 55 MRSM yang bakal diisi oleh pelajar baharu. Bagi yang gagal mereka boleh membuat rayuan, kemasukannya akan dilihat kepada jumlah pelajar yang tidak hadir membuat pendaftaran ataupun yang menolak tawaran.
"Kita juga tahu sekolah lain sudah mula menawarkan tempat dan sebagainya. Apa yang penting pendidikan adalah antara agenda utama MARA dan kita percaya itu antara sebab MRSM menjadi pilihan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Lawatan dan Perjumpaan Pengerusi MARA Bersama Warga MRSM Pengkalan Chepa dan Ketua Pusat Pentadbiran MARA Kelantan di sini hari ini.
Terdahulu Asyraf mengadakan sesi libat urus bersama warga MRSM Pengkalan Chepa dan Ketua Pusat Pentadbiran MARA Kelantan.
Sementara itu, Asyraf berkata sejumlah RM300,000 telah diluluskan untuk MRSM Pengkalan Chepa bagi menaik taraf kelengkapan di institusi itu termasuk menambah baik peralatan di bilik guru yang dilihat semakin uzur.
Menurutnya MRSM Pengkalan Chepa adalah institusi pertama di luar ibu pejabat yang dilawati secara mengejut dan berdasarkan lawatan memang terbukti banyak fasiliti di situ perlu ditambah baik.
"Saya telah menghubungi Ketua Pengarah MARA dan peruntukan telah diluluskan segera," katanya.
--BERNAMA
#MRSM #fasiliti #peruntukan #bilik guru
;