MRSM berbayar masih dalam kajian peringkat awal - Ismail Sabri
Harits Asyraf Hasnan
Mac 22, 2017 12:25 MYT
Mac 22, 2017 12:25 MYT
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah masih mengadakan kajian di peringkat awal susulan cadangan penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya menjangkakan penambahan kuota kepada 70 hingga 80 peratus kepada pemohon dari keluarga berpendapatan rendah.
Menurut beliau, ini sekaligus mengembalikan objektif utama penubuhan MRSM yang bertujuan membantu mereka yang berpendapatan rendah selain yang menetap di luar bandar untuk mendapat akses pendidikan yang lebih sempurna.
"Seperti yang saya terangkan tadi, apabila cadangan untuk penambahan pelajar miskin di luar bandar, bermakna kita telah menyekat pelajar bandar atau yang berpendapatan tinggi untuk masuk MRSM.
"Seperti saya kata, keputusan tersebut tidak akan berubah di mana untuk MRSM yang sedia ada pada ketika ini untuk masuk lebih ramai iaitu mungkin 70 hingga 80 peratus pelajar di luar bandar.
"Untuk MRSM yang berbayar pula, kita akan bina yang baharu atau mungkin namanya lain, tapi konsep yang sama. Jadi ia tidak akan jejaskan MRSM yang sedia ada," katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) berkenaan cadangan mengenakan bayaran terhadap pelajar yang memasuki MRSM.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Ibrahim Ahmad berkata pihaknya perlu meneliti cadangan itu dari pelbagai sudut, termasuk dari segi urusan perbelanjaan.